10% – 13% penjawat awam bankrap sejak 2021

10% – 13% penjawat awam bankrap sejak 2021

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, M Bakri Abd Majid berkata data itu menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun, walaupun data kebankrapan nasional tunjuk penurunan.

penjawat awam
Berdasarkan data terbuka Jabatan Insolvensi, statistik kebankrapan penjawat awam adalah 12% pada 2020, 2021 (10%), 2022 (11%), 2023 (13%) dan 14% sehingga kini tahun ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kira-kira 10% hingga 13% daripada kes kebankrapan baharu didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini membabitkan penjawat awam, kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (Mdl), M Bakri Abd Majid.

Beliau berkata, lebih membimbangkan data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun, walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.

Berdasarkan data terbuka Mdl, katanya, statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah 12% pada 2020, 2021 (10%), 2022 (11%), 2023 (13%) dan 14% sehingga kini tahun ini.

“Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan saja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah ekosistem perkhidmatan awam negara.

“Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan serius, selain mencemarkan imej perkhidmatan awam, sekali gus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat, manakala kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Dalam sesetengah kes, jelasnya, terdapat penjawat awam memohon membangkrapkan diri bagi mengurangkan tekanan hutang berpanjangan.

Di pihak jabatan pula, M Bakri berkata, ketua jabatan sepatutnya memantau tahap keterhutangan petugas di bawah selian dan peka terhadap perubahan kelakuan mereka.

“Tindakan pencegahan awal harus dijalankan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan jabatan juga boleh bekerjasama dengan pakar atau penasihat kewangan bertauliah bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan kewangan,” katanya sambil menambah kegagalan ketua jabatan melaksanakan tanggungjawabnya boleh mengundang gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan.

Mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji lebih baik, menurutnya, biarpun ia melegakan keresahan penjawat awam, ada pihak bersedia “menangguk di air keruh” untuk menawarkan pinjaman baharu “tidak sihat” kepada penjawat awam yang lalai khususnya.

Beliau berkata, “kitaran jahat” itu perlu dihentikan daripada terus merencatkan aliran tunai penjawat awam dan peranan semua pihak, termasuk ketua jabatan amat diperlukan bagi mengekang masalah berkenaan.

“Selaras pengumuman gaji baharu, pekerja sektor awam dilihat menjanjikan perubahan cara kerja atau tahap produktiviti lebih baik, namun ia bukan sekadar dua perkara itu saja, malah pemikiran juga perlu diubah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.