
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata tiada pelaburan dibuat Mashitah termasuk beberapa individu lain di luar negara yang didakwa berkait sindiket berkenaan.
Katanya, berdasarkan hasil analisis beberapa akaun bank individu, didapati wang dalam akaun itu merupakan wang simpanan.
“Sebelum ini, kita ada mengesahkan keberadaan ahli politik itu bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah, namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat.
“Setakat ini, seramai 11 individu diambil keterangan berkaitan kes tersebut,” katanya menurut Sinar Harian.
Razarudin berkata, siasatan setakat ini masih belum terdapat pembuktian kukuh membabitkan sindiket pemerdagangan manusia, namun sedang menyiasat peranan seorang Datuk Seri disyaki dalang dalam mengenal pasti pelabur berpotensi melabur di Myanmar.
“Kita juga menyiasat peranan lelaki disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan daripada pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk.
“Ini juga bagi mengenal pasti perhubungan antara beberapa individu serta dua ahli perniagaan rakyat China,” katanya.
Pada 29 Ogos, Mashitah membuat laporan polis dan memberi keterangan di Bukit Aman berhubung tuduhan mengaitkannya terbabit aktiviti sindiket pemerdagangan manusia.
Beliau yang menafikan terbabit aktiviti sedemikian menyifatkan maklumat itu ‘dikutip media picisan Indonesia’.