Rakyat Malaysia di Vietnam dinasihat sedia hadapi Taufan Yagi

Rakyat Malaysia di Vietnam dinasihat sedia hadapi Taufan Yagi

Kedutaan Malaysia di Hanoi memberi amaran potensi hujan lebat dan angin kencang dengan risiko banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.

Pejalan kaki melepasi pokok tumbang yang menghalang laluan akibat angin kencang di Hanoi. Taufan Yagi dijangka mendarat di utara Vietnam hari ini. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Rakyat Malaysia di Vietnam dinasihatkan bersedia menghadapi Taufan Yagi yang dijangka melanda utara negara itu termasuk Hanoi hari ini.

Dalam pengumuman di Facebook rasminya, Kedutaan Malaysia di Hanoi memberi amaran potensi hujan lebat dan angin kencang dengan risiko banjir, banjir kilat dan tanah runtuh.

Bermula petang Jumaat hingga pagi Isnin ini, wilayah utara dan utara-tengah dijangka mengalami hujan lebat antara 100 hingga 300mm, dengan beberapa kawasan dijangka menerima lebih daripada 500mm, menurut kenyataan itu.

“Oleh itu, pihak berkuasa memberi amaran agar kita bersedia menghadapi banjir di kawasan rendah, kemungkinan banjir kilat di sungai dan anak sungai, serta tanah runtuh di beberapa kawasan.

“Rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau melawat kawasan terjejas dinasihatkan untuk memantau berita tempatan dalam beberapa hari akan datang.

“Rakyat Malaysia diminta mendaftar di e-konsular melalui https://ekonsular.kln.gov.my/login dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan. Sentiasa ikuti nasihat dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan,” menurut pengumuman itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pegawai bertugas kedutaan di talian +849-0418 5610 atau melalui e-mel di [email protected].

Menurut Xinhua, taufan Yagi dijangka melanda pantai utara Vietnam hari ini, membawa hujan lebat hingga 400mm.

Sepuluh kawasan dijangka terjejas secara langsung termasuk Hanoi, Hai Phong, Thai Binh, dan Ha Nam, manakala sesi persekolahan pada Sabtu untuk 5.6 juta pelajar akan ditangguhkan buat sementara waktu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.