
Sistem cuaca berasingan membawa hujan lebat yang berpanjangan ke pulau Sri Lanka serta sebahagian besar Sumatera di Indonesia, selatan Thailand dan utara Malaysia minggu lalu.
Sebahagian besar rantau ini kini berada dalam musim monsun tetapi perubahan iklim menyebabkan kejadian hujan ekstrem semakin kerap dan ribut menjadi lebih ganas.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata ia sedang mengerahkan pasukan tindak balas pantas serta bekalan kritikal ke rantau tersebut.
Ketua agensi PBB itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberitahu wartawan di Geneva bahawa ‘ia satu lagi peringatan bahawa perubahan iklim sedang mendorong kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan lebih dahsyat, dengan kesan yang buruk’.
Hujan tanpa henti menyebabkan penduduk berpaut di atas bumbung menunggu diselamatkan dengan bot atau helikopter dan seluruh kampung terputus hubungan daripada bantuan.
Sebaik tiba di Sumatera Utara pada Isnin, Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata, ‘yang terburuk telah berlalu, harapnya’.
Keutamaan kerajaan kini ialah ‘menghantar bantuan yang diperlukan dengan segera’, terutama ke beberapa kawasan yang terputus hubungan, katanya.
Prabowo berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk mengisytiharkan darurat nasional susulan banjir dan tanah runtuh yang telah meragut sekurang-kurangnya 593 nyawa, dengan hampir 470 lagi masih hilang.
Tidak seperti rakan sejawatnya di Sri Lanka, Prabowo juga mengelak daripada secara terbuka meminta bantuan antarabangsa.
Angka korban ini adalah yang paling dahsyat akibat bencana alam di Indonesia sejak gempa bumi besar dan tsunami pada 2018 yang membunuh lebih daripada 2,000 orang di Sulawesi.
Kerajaan telah menghantar tiga kapal perang yang membawa bantuan dan dua kapal hospital ke beberapa kawasan paling teruk terjejas, di mana banyak jalan masih tidak dapat dilalui.
Di Aceh Utara, Misbahul Munir, 28, menggambarkan bagaimana dia berjalan dalam air setinggi leher untuk pulang kepada ibu bapanya.
“Segala-galanya di rumah musnah kerana ditenggelami air,” katanya kepada AFP.
“Saya hanya ada pakaian yang saya pakai,” katanya sambil menangis.
“Di tempat lain, ramai yang meninggal dunia. Kami bersyukur kami masih sihat.”
Di Sri Lanka, kerajaan meminta bantuan antarabangsa dan menggunakan helikopter tentera untuk mencapai mangsa yang terperangkap akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Ditwah.
Sekurang-kurangnya 390 orang telah terkorban, kata pegawai Sri Lanka pada Isnin, dengan 352 lagi masih hilang.
Paras banjir di ibu kota Colombo memuncak sepanjang malam.
Kini hujan telah berhenti, ada harapan air mula surut. Beberapa kedai dan pejabat telah dibuka semula.
Banjir mengejutkan sesetengah penduduk sekitar Colombo.
“Setiap tahun kami mengalami banjir kecil, tetapi yang ini lain,” kata pemandu penghantaran Dinusha Sanjaya, 37, kepada AFP.
“Bukan sahaja jumlah air, tetapi betapa cepat semuanya tenggelam.”
Pegawai berkata bahawa tahap kerosakan di kawasan tengah yang paling terjejas baru sahaja dapat dikenal pasti apabila pekerja bantuan membersihkan jalan yang ditutup oleh pokok tumbang dan runtuhan tanah.
Presiden Anura Kumara Dissanayake telah mengisytiharkan darurat bagi menangani apa yang beliau gelar sebagai ‘bencana alam paling mencabar dalam sejarah kami’.
Presiden Sri Lanka itu menerima panggilan daripada Perdana Menteri India Narendra Modi pada Isnin untuk memastikan sokongan berterusan New Delhi dalam usaha bantuan dan pemulihan, kata pegawai India.
Kehilangan nyawa dan kerosakan ini adalah yang paling buruk di Sri Lanka sejak tsunami dahsyat 2004 yang membunuh sekitar 31,000 orang dan menyebabkan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal.
Menjelang petang Ahad, hujan telah reda di seluruh Sri Lanka tetapi kawasan rendah di ibu kota masih banjir dan pihak berkuasa bersiap untuk operasi bantuan besar-besaran.
Helikopter tentera telah dikerahkan untuk membawa keluar penduduk yang terperangkap dan menghantar makanan. Sebuah daripadanya terhempas di utara Colombo pada Ahad, mengorbankan juruterbangnya.
Musim monsun tahunan selalunya membawa hujan lebat, mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat.
Tetapi banjir yang melanda Indonesia, Thailand dan Malaysia turut diperburuk oleh ribut tropika luar biasa yang mencurahkan hujan lebat khususnya di pulau Sumatera.
Limpahan hujan itu menyebabkan banjir yang membunuh sekurang-kurangnya 176 orang di selatan Thailand, menurut pihak berkuasa pada Isnin, antara insiden banjir paling maut dalam sedekad.
Kerajaan telah melaksanakan langkah bantuan, tetapi kritikan awam terhadap respons banjir semakin meningkat dan dua pegawai tempatan telah digantung atas dakwaan kegagalan mereka.
Di seberang sempadan di Malaysia, hujan lebat turut menenggelamkan kawasan luas di Perlis, dua orang terbunuh.