Perancangan kewangan baik penting untuk bebas bebanan hutang, kata pengerusi PTPTN

Perancangan kewangan baik penting untuk bebas bebanan hutang, kata pengerusi PTPTN

Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi menggalakkan masyarakat menabung untuk pendidikan tinggi anak-anak dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

sim tze
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (tiga dari kiri) diiringi Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim (dua dari kiri) melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru hari ini.
PETALING JAYA:
Selain bebas daripada dijajah, kemerdekaan sebenar ialah perjuangan masyarakat menikmati kualiti kehidupan lebih baik, memiliki kekuatan jati diri dan semangat cintakan negara, kata Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Norliza Abdul Rahim.

Beliau berkata, kemerdekaan juga membawa mesej tentang kepentingan masyarakat mempunyai perancangan kewangan baik untuk bebas daripada bebanan hutang.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi mendorong dan menggalakkan masyarakat membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

“Apabila anak-anak dewasa kelak, mereka telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan dan menyambung pengajian menggunakan simpanan yang dibuat di Simpan SSPN,” katanya dalam kenyataan sempena Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 Bersama HAWA Pulau Pinang.

Karnival itu dilancarkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin di Bayan Baru, Pulau Pinang. Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Mohd Dusuki Mokhtar.

Ini kali kedua PTPTN menganjurkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN yang juga program tanggungjawab sosial korporatnya bagi meraikan Bulan Kebangsaan dan menggalakkan budaya menabung masyarakat.

Sempena karnival itu, pelbagai aktiviti disediakan, antaranya pameran jualan usahawan dan rakan kolaborasi, Jualan Rahmah, Klinik Memanah, permainan e-sport, pertandingan mewarna dan pakaian beragam serta slot Genius IQ PTPTN.

Kaunter promosi Simpan SSPN turut dibuka dengan menawarkan pelbagai cenderamata eksklusif bagi pembukaan akaun atau penambahan deposit.

PTPTN tidak lupa menyantuni golongan asnaf dengan menyumbang peranti kepada 10 pelajar bagi membantu pembelajaran.

Norliza berkata, acara kemuncak program itu ialah Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 yang disertai pelajar institusi pendidikan tinggi, rakan strategik, pegawai PTPTN dan penduduk setempat.

“Program ini sangat bermakna dalam memupuk semangat patriotisme, di samping menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Lebih menarik, acara larian sejauh 5km ini turut melibatkan aktiviti memasang bendera di setiap rumah sekitar kawasan perumahan Bayan Baru, selaras inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ yang diketengahkan Kementerian Komunikasi untuk sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.