
Seperti semua perusahaan, ada agenda perniagaan yang perlu dipenuhinya seperti memastikan keuntungan mencapai jangkaan pemegang saham.
Pada masa sama, GLC dan GLIC masih perlu memenuhi syarat-syarat berkait prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk memenuhi agenda tenaga hijau dan lebih penting, pemerkasaan Bumiputera.
Objektif ini tidak dapat dicapai serentak, menurut Sri Murniati Yusuf, pengarah penyelidikan kanan di badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Hakikatnya, GLC pada asalnya ditubuhkan untuk menyokong agenda pemerkasaan Bumiputera, tetapi dalam persekitaran semasa, lebih banyak lagi yang diharapkan daripada mereka, katanya kepada FMT.
Kita tidak seharusnya melihat agenda baharu ini sebagai bercanggah dengan keperluan memperkasakan Bumiputera.
Malah, katanya, kedua-dua agenda itu mesti disepadukan secara berkesan demi manfaat kedua-dua GLC dan Bumiputera.
Agenda korporat
Dari segi mencapai objektif perniagaan, GLC dan GLIC telah menunjukkan prestasi yang agak baik.
GLC ialah institusi yang besar di Malaysia. Sebagai contoh Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini mempunyai permodalan pasaran lebih RM81 bilion, menjadikannya salah satu entiti terbesar di Bursa Malaysia.
Secara kolektif, permodalan pasaran 30 GLC teratas dalam Bursa Malaysia bernilai lebih RM952 bilion keseluruhannya.
Malah, banyak GLC telah melebarkan sayap ke luar Malaysia dan bertapak di seluruh dunia.
Malayan Banking Bhd (Maybank), institusi kewangan terbesar negara yang merupakan salah satu daripada lima bank teratas di Asia Tenggara, mempunyai rangkaian global 2,200 cawangan dan 20 pejabat.
Dalam kalangan GLIC, Permodalan Nasional Bhd (PNB) merupakan salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia, yang mempunyai kepentingan dalam sektor telekomunikasi melalui pelaburannya dalam CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd; dalam sektor tenaga melalui TNB dan Petronas Gas Bhd; serta perbankan melalui CIMB Group Holdings Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd, antara lainnya.
Menjamin kemampanan
Kebanyakan GLIC dan GLC di Malaysia telah mempunyai dasar bagi menangani isu ESG sebagai antara dasar pelaburan bertanggungjawabnya. Ini termasuk libat urus dalam hal ehwal alam sekitar dan sosial.
Tiga GLIC Malaysia sudah pun menjadi pihak menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI), rangkaian institusi kewangan disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bekerjasama dalam mencapai kemampanan.
Banyak GLIC lain seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang giat berusaha memenuhi agenda tenaga hijau mereka sendiri.
Sebagai contoh, Petronas merancang mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada operasinya di Malaysia kepada 49.5 juta tan setara karbon dioksida tahun ini, daripada 54.03 juta tan pada 2022.
Pada 2021, TNB mengumumkan akan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 bawah pelan peralihan tenaganya.
Sementara itu, sektor minyak dan gas (O&G) mendahului dalam bidang inovasi teknologi. Anak syarikat Petronas, Malaysian Refining Company Sdn Bhd, sedang merintis program melibatkan penggunaan bahan kimia mesra alam untuk merawat enap cemar bagi memperoleh semula minyak dan pada masa sama, mengurangkan jumlah sisa pepejal.
Sokongan terhadap perniagaan Bumiputera
Selain agenda kemampanan, GLC dan GLIC di Malaysia mempunyai satu lagi tanggungjawab, iaitu menyokong pertumbuhan perniagaan Bumiputera.
Salah satu komponen utama agenda Bumiputera ini adalah membangunkan pembekal bawah program pembangunan vendor, yang diharapkan dapat menyokong agenda hijau dan usaha teknologi GLC.
Apabila matlamat-matlamat ini tercapai, kedua-dua pihak – GLC dan pembekal – akan mendapat manfaat, kata Sri Murniati.
Beliau menegaskan, usaha menjamin tadbir urus korporat dan memperkasakan perniagaan Bumiputera juga tidak seharusnya saling eksklusif.
Tambahnya, jika program-program itu direka bentuk dengan ketelusan dan pendedahan yang mencukupi, agenda Bumiputera boleh menjadi asas tadbir urus korporat untuk GLC juga, tambahnya.
Pakar ekonomi Rajah Rasiah berkata, GLC ditubuhkan untuk membantu negara mencapai matlamat-matlamat pembangunannya, termasuk agenda Bumiputera.
Namun begitu, katanya, persekitaran yang kompetitif yang membolehkan perniagaan Bumiputera disepadukan dalam masyarakat yang lebih luas adalah penting.
GLC mesti melaksanakan tadbir urus korporat yang teguh, termasuk pemantauan dan penguatkuasaan, agar ia dapat memenuhi kewajipan ekonominya dan agenda pemerkasaan Bumiputera, kata Rajah kepada FMT.
Beliau berkata, walaupun suatu tahap kejayaan telah dicapai melalui agenda Bumiputera, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Tambahnya, kajian kritis mesti dijalankan, dan memandangkan GLC beroperasi dalam persekitaran perniagaan terbuka, piagam perniagaan seperti yang diamalkan oleh syarikat bertaraf dunia, yang penting untuk menjamin kejayaan, jelas perlu diwujudkan.