
Pengarahnya, Azman Ismail, berkata hanya tiga kes dicatatkan selepas tiga bulan pelaksanaan.
“Di Kelantan, kes penyeludupan diesel sangat berkurangan. Ini membuktikan langkah diambil kerajaan untuk mengekang aktiviti tidak bermoral tersebut berjaya,” katanya menurut Sinar Harian selepas menghadiri sebuah program di Kota Bharu.
Beliau berkata, harga semasa diesel RM3.18 seliter yang dibandingkan dengan negara jiran RM4.20 seliter menjadi faktor ia kurang memberi keuntungan kepada penyeludup.
Sepanjang tahun ini hingga bulan lalu, menurutnya, hanya 50 kes penyeludupan diesel dicatatkan berbanding petrol sebanyak 228 kes.
Sementara itu, Azman berkata, orang ramai menyambut baik sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan layak.
“Sehingga hari ini, kami masih buka kaunter di pejabat untuk memudahkan orang ramai berurusan. Kami juga turun ke lapangan untuk bersemuka orang ramai bagi memastikan bantuan kerajaan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.”
Kerajaan menetapkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia pada kadar RM3.35 seliter mulai 10 Jun lalu, iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar ini memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam jangka panjang.