
Dalam kenyataan, kementerian berkata dapatan itu diperoleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menerusi penggunaan peralatan Ground Penetration Radar (GPR).
“Satu laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan akan disediakan oleh kumpulan Task Force Struktur Tanah Masjid India yang diterajui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam jangka masa tiga bulan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak kementerian menegaskan Kuala Lumpur selamat dihuni.
“Bagaimanapun, pemantapan terhadap aspek pemantauan, penyelenggaraan, prosedur, dan kaedah penyiasatan bawah permukaan meliputi struktur binaan bawah tanah dapat mengenal pasti dan mengelak sebarang ancaman tanah jerlus dan
lubang benam yang mungkin berlaku.”
Katanya, JMG juga sedang menambah baik data bawah permukaan Lembah Klang meliputi 10 agensi pihak berkuasa tempatan melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-permukaan Greater KL bagi melengkapkan lagi maklumat.
“Pihak kementerian menasihatkan orang awam tidak mempercayai spekulasi dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab mengenai keadaan keselamatan bawah permukaan Kuala Lumpur serta perlu mendapatkan maklumat sahih pihak berautoriti dalam sebarang kejadian bencana geologi,” katanya.
Pada 31 Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang akibat terjatuh ke lubang sedalam 8m di Jalan Masjid India, 23 Ogos lalu dihentikan selepas sembilan hari dilaksanakan.