
Pengarah Zon Maritim Labuan, Izwanhadi Idros, berkata penahanan itu dilakukan bot peronda Maritim Malaysia yang dalam rondaan rutin Op Sejahtera dan Op Tiris di perairan sekitar Labuan serta Pulau Tiga.
Beliau berkata, pasukan peronda mengesan suspek dalam bot membawa bahan letupan itu yang biasanya digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.
“Kelima-lima individu berusia 18 dan 55 tahun itu kini disiasat kerana melanggar Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1956/1963.
“Bot bernilai kira-kira RM70,000 dirampas bersama bom ikan tersebut yang dianggarkan bernilai RM1,000,” katanya kepada Bernama.
Izwanhadi berkata, pihaknya komited membanteras kegiatan penangkapan ikan secara haram kerana aktiviti seperti mengebom ikan bukan saja memusnahkan ekosistem marin, tetapi juga mengancam mata pencarian nelayan tempatan.
Menurutnya, operasi berterusan Maritim Malaysia di kawasan itu bagi mencegah aktiviti berbahaya tersebut, selain melindungi perairan negara.