‘Kekal jadi superhero’, SSPN tawar hadiah lumayan RM100,000

‘Kekal jadi superhero’, SSPN tawar hadiah lumayan RM100,000

Wang tunai RM100,000 menanti 181 pemenang dalam kempen Cabutan Siri WOW! Superheroes 2024 bermula 1 Sept hingga 21 Okt.

ptptn
PTPTN berkata Simpan SSPN adalah satu-satunya produk simpanan menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah lumayan wang tunai RM100,000 dengan pendeposit hanya perlu membuka akaun atau menambah simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Menerusi kempen Cabutan Siri WOW! Superheroes 2024, PTPTN mengajak ibu bapa menjadi ‘hero’ menyedia dan merancang masa depan anak-anak bagi mendapatkan pendidikan sempurna.

Melalui kempen itu, PTPTN menawarkan wang tunai keseluruhan RM100,000 bagi 181 pemenang. Hadiah utama RM10,000 untuk seorang pemenang dan sagu hati RM500 untuk setiap 180 pemenang.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata kempen itu bermula 1 Sept hingga 31 Okt ini.

“Ibu bapa yang menabung seawal usia anak adalah ‘superhero’ kerana mereka merupakan individu bertanggungjawab menyediakan sumber kewangan dan perancang utama untuk masa depan anak-anak termasuk mendidik mengenai pengurusan kewangan.

“Kekallah menjadi superhero sepanjang masa untuk masa depan anak dengan membuat perancangan kewangan di awal usia bagi memastikan generasi masa hadapan mendapat pendidikan sempurna,” katanya dalam kenyataan.

Kempen itu terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

Dasuki berkata, setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan, manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.

“Menariknya, kelebihan cabutan berganda juga diberikan kepada pengguna aplikasi myPTPTN. Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima cabutan.

“Manakala, pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat sepuluh cabutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dasuki berkata pendeposit bakal menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat menerusi Simpan SSPN, selain berpeluang memenangi hadiah lumayan sepanjang menyertai kempen itu.

Katanya, Simpan SSPN adalah satu-satunya produk simpanan menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.

Selain itu, katanya, Simpan SSPN juga memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Sehingga 31 Julai lalu, deposit Simpan SSPN diterima berjumlah RM18.7 bilion dengan bilangan akaun 6.5 juta.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.