Siasat 1BestariNet susulan maklumat, aduan rasuah baharu

Siasat 1BestariNet susulan maklumat, aduan rasuah baharu

SPRM berkata siasatan juga dibuat berdasarkan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

macc
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memulakan siasatan membabitkan tender 1BestariNet sejak kelmarin dengan menggeledah pejabat YTL Communications Sdn Bhd (YTL).
PETALING JAYA:
Siasatan terbaharu membabitkan tender 1BestariNet Kementerian Pelajaran bernilai RM4 bilion dibuat susulan beberapa aduan membabitkan dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi antirasuah itu menjelaskan siasatan terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) juga dibuat berdasarkan maklumat menerusi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan baharu diterima bulan lalu selain Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

SPRM berkata laporan itu mendedahkan wujud beberapa kelemahan antaranya aspek capaian liputan jalur lebar rendah, kelemahan teknologi infrastruktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar tidak menyeluruh.

“Ada juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek itu yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisien,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selain itu, berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet ini pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada 7 tahun 6 bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.

“Walaupun perkhidmatan diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan dibuat syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu.

“Sehingga kini, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan namun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh 5 tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta,” katanya.

Justeru itu, tegasnya, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya melibatkan peruntukan dana kerajaan untuk pembangunan negara.

“SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi,” katanya.

Terdahulu, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan projek mengalu-alukan siasatan SPRM dan yakin tidak terbabit dengan dakwaan penyelewengan.

Muhyiddin menjadi menteri pendidikan ketika projek itu diperkenalkan pada 2011.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.