Rancang pembangunan, kerap selenggara elak KL padat, kata perancang bandar

Rancang pembangunan, kerap selenggara elak KL padat, kata perancang bandar

Mohd Zamreen Mohd Amin berkata tekanan kepadatan Kuala Lumpur mungkin menyukarkan projek rumah mampu milik dilaksanakan.

PPR-Poverty
Perancang bandar berpendapat pembangunan di Kuala Lumpur perlu dibuat rapi untuk memberi ruang kepada pembinaan rumah mampu milik.
PETALING JAYA:
Seorang perancang bandar berpendapat pembangunan di Kuala Lumpur yang dikatakan terlalu padat boleh diimbangi dengan perancangan rapi serta kekerapan penyelenggaraan.

Mohd Zamreen Mohd Amin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, perancangan rapi harus dibuat dengan tidak menumpukan kepada kawasan tertentu, mengambil kira kemampuan infrastruktur sedia ada bagi mengelakkan struktur bawah tanah mengalami ‘tekanan melampau’.

Beliau merujuk insiden lubang benam di Jalan Masjid India, bulan lalu, sebagai contoh jika aspek penyelenggaraan tidak dititikberatkan.

“Penyelenggaraan memainkan aspek penting supaya tidak ada lagi isu berbangkit (contoh tanah jerlus dan pokok tumbang) kerana bandar kita semakin menua dan padat,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencadangkan projek pembinaan rumah mampu milik seperti program Perumahan Madani diperluaskan ke kawasan lain di Lembah Klang atau dikenali ‘Greater KL’ seperti Sepang, Putrajaya, Ampang Jaya, Shah Alam, Selayang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kajang dan Klang.

Gesaannya itu mengambil contoh kepadatan di Taman Desa Kuala Lumpur yang membawa bantahan penduduk terhadap projek Residensi Suria Madani dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, 29 Ogos lalu kerana wujud ketidakseimbangan antara penduduk serta kemudahan.

Mengulas perkara itu, Zamreen berkata pemindahan projek perumahan mampu milik di luar Kuala Lumpur berisiko memberi kesan kepada harga tanah luar bandar dan dikhuatiri mencetuskan persekitaran tidak kondusif kepada orang kampung.

“Kita khuatir selepas ini kawasan itu pula jadi mahal untuk diduduki orang kampung, dan kita perlu elak perkara itu.

“Kita mahu kawasan-kawasan ini mapan untuk orang kampung jalani rutin harian mereka. Jadi, boleh bangunkan projek baharu di bandar tetapi kita perlu kawal dan rancang dengan rapi.”

Hardianshah Saleh, ahli geologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata setiap pembangunan yang mahu dibina di mana-mana lokasi termasuk Kuala Lumpur perlu membabitkan pakar bagi memastikan tahap keselamatan dan keutuhan struktur binaan.

“Ikut peraturan ditetapkan, setiap pembangunan akan dibuat kajian geologi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan.

“Kalau memang tak sesuai berdasarkan penilaian, biasanya projek itu tak akan diteruskan atas nasihat perunding dan ahli geologi,” katanya.

Beliau turut berpendapat cadangan memindahkan projek rumah mampu milik ke luar bandar tidak praktikal ketika ini, melihat kepada ketersediaan pengangkutan awam yang kurang cekap.

“Kalau ikut kepadatan memang perlu dialihkan tetapi masalahnya apakah kemudahannya tersedia? Ramai tak mahu jauh dari bandar sebab kemudahan belum ada atau masih kurang.

“Perlu ada perancangan rapi dan menyeluruh, bukan hanya babitkan projek perumahan tetapi termasuk kemudahan pengangkutan dan jalan raya,”katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.