Polis tembak mati ahli kumpulan samun warga Afrika

Polis tembak mati ahli kumpulan samun warga Afrika

Suspek ditembak mati dalam satu kejadian berbalas tembakan di sebuah apartmen di Puchong Jaya, semalam.

shuhaily
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis turut menemukan dua bilah parang, nombor plat palsu dan sebuah beg mengandungi wang palsu.
PUCHONG:
Seorang warga Afrika, dipercayai anggota kumpulan samun yang dikehendaki polis, mati dalam satu kejadian berbalas tembakan di sebuah apartmen di Puchong Jaya di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dalam kejadian pada 10.50 malam itu, polis telah menyerbu sebuah unit kediaman di tingkat sembilan Menara KLH untuk memberkas suspek, namun lelaki itu telah bertindak melepaskan dua das tembakan.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek berseorangan dan tidak mahu memberikan kerjasama, sebaliknya melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis menggunakan senjata jenis revolver, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan suspek,” katanya dalam sidang media di tempat kejadian semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di unit kediaman itu, polis menemukan dua bilah parang, nombor plat palsu dan sebuah beg mengandungi wang palsu.

Katanya, suspek turut memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dipercayai palsu.

“Umur, kewarganegaraan dan dokumen lain berkaitan suspek masih disiasat,” katanya.

Menurut Shuhaily, lelaki itu merupakan anggota kumpulan samun bersenjata api warga Afrika yang aktif sejak 2018.

Seorang anggota kumpulan itu ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan pada 20 Ogos lepas di Subang Jaya manakala tiga lagi anggota kumpulan itu ditangkap pada 25 Ogos ketika cuba menyamun warga Jepun di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Polis kini mempergiat usaha memburu saki-baki anggota kumpulan itu, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.