Polis siasat kes peguam ‘songlap’ yuran guaman hampir RM53,000

Polis siasat kes peguam ‘songlap’ yuran guaman hampir RM53,000

Mangsa yang juga rakan kongsi suspek membuat laporan polis pada 20 Ogos.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata suspek yang didapati terbabit tiga kes penipuan masih aktif berkhidmat sebagai peguam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan yuran guaman bernilai hampir RM53,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 20 Ogos.

Katanya, pengadu yang juga peguam melaporkan firma miliknya dilantik oleh sebuah syarikat untuk menguruskan urus niaga pembelian dan penjualan hartanah sekitar 2022.

“Pengadu kemudian mengamanahkan suspek iaitu rakan kongsinya, untuk mengendalikan urusan tersebut. Firma guaman mangsa kemudian menghantar tuntutan yuran guaman berjumlah RM52,977 kepada syarikat berkenaan.

“Namun, jumlah tersebut tidak dilunaskan atas alasan suspek memberikan pengecualian yuran guaman,” katanya pada sidang media mingguan di Menara KPJ.

Ramli berkata, mangsa menafikan beliau tahu tentang perkara itu, malah suspek tidak mempunyai kuasa memberikan pengecualian yuran guaman bagi perkhidmatan ditawarkan firma mereka.

“Mangsa mengesyaki yuran guaman tersebut dibayar ke akaun peribadi suspek setelah memperoleh maklumat daripada sebuah firma guaman lain (tempat kerja baharu suspek) berhubung salinan sekeping cek bernilai RM52,977 yang dibayar oleh syarikat itu kepada suspek,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek didapati terbabit tiga kes penipuan sebelum ini, dengan perbicaraan sedang berjalan bagi satu daripadanya, dan dua lagi masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ramli menggesa Majlis Peguam mengambil tindakan lebih tegas seperti menggantung perkhidmatan peguam terlibat kes jenayah.

Katanya, tindakan tegas penting bagi memelihara martabat dan keyakinan masyarakat terhadap profesion guaman.

“Semakan lanjut mendapati suspek masih aktif berkhidmat sebagai seorang peguam,” katanya.

“Inilah yang saya ulangi kerap kali, pengamal undang-undang sebegini masih dibiarkan berkhidmat sedangkan dia telah dituduh atas satu kesalahan jenayah dan sedang dibicarakan di mahkamah.”

Menurutnya, Majlis Peguam sudah menyatakan komitmen dan kerjasama untuk membanteras kes pecah amanah dalam kalangan peguam menerusi surat bertarikh 27 Ogos.

“Polis amat menghargai komitmen Majlis Peguam dan kami bersedia memberikan kerjasama sewajarnya bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.