Pemuda Bersatu harap Kok tarik balik kenyataan berkait sijil halal

Pemuda Bersatu harap Kok tarik balik kenyataan berkait sijil halal

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal harap Teresa Kok tarik balik kenyataan dan mohon maaf kepada umat Islam.

Wan Ahmad Fayhsal mengulas kenyataan Teresa Kok berkait cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu harap Ahli Parlimen DAP Teresa Kok menarik balik kenyataan berkait cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga mahu wakil rakyat Seputeh itu memohon maaf kepada umat Islam.

“Gagal buat demikian Armada Bersatu Malaysia akan buat laporan polis seluruh negara kerana menyentuh soal 3R seperti yang kerajaan Madani sendiri telah beri amaran,” katanya di Facebook.

Wan Fayhsal turut kongsi tangkap layar laporan berkaitan di Malaysiakini, di mana Kok dilapor berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

“Mencari yang halal itu fardu (wajib) bagi orang Islam.

“Tiada apa yang malu buat negara kalau hal ini diwajibkan buat semua kedai makan yang mahu berurus niaga dengan umat Islam,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Cadangan itu mengecualikan restoran menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.