
Fahmi mengakui, di Malaysia, perbelanjaan pengiklanan tahunan dianggarkan kira-kira RM4.5 bilion.
Bagaimanapun, katanya, menurut organisasi media, kira-kira RM2.5 bilion daripada perbelanjaan pengiklanan itu kini disalurkan terus kepada platform media sosial, memintas saluran media lazim.
“Ini memberi kesan kepada banyak organisasi media. Akibatnya, kita lihat ramai wartawan berdedikasi yang telah lama berkhidmat diberhentikan, (dan ini) amat membimbangkan,” katanya pada sidang media.
Walaupun mengiktiraf keseriusan keadaan ini, kerajaan tidak akan campur tangan buat masa ini, katanya.
Sebaliknya, beliau menggalakkan organisasi media untuk berunding dengan platform media sosial untuk mencari penyelesaian, seperti menerusi perjanjian komersial.
“Pada tahap ini, kita tidak rasa perlu mengikut jejak langkah negara lain. Kita perlu mengorak laluan kita sendiri dan mencari keseimbangan, titik pertemuan antara organisasi media dan platform media sosial,” katanya.
Pada 2021, Parlimen Australia meluluskan perundangan penting yang menghendaki syarikat digital gergasi global membayar penerbit dan penyiar untuk kandungan berita tempatan.
Ini bermakna Google harus membuat bayaran untuk kandungan berita yang muncul pada produk ‘Showcase’, manakala Facebook turut membayar penyedia kandungan yang muncul pada tab beritanya.
Pada Februari, syarikat induk Facebook, Meta Platforms, membuat keputusan melupuskan tab beritanya di Australia dan Amerika Syarikat, selepas United Kingdom, Perancis dan Jerman.
Pengguna Facebook bagaimanapun masih dapat melihat artikel berita di ‘feed’ masing-masing.