
Presiden Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang, berkata pihaknya telah menyerahkan notis pemakluman kepada polis pada 29 Ogos.
Menurutnya, pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak memerlukan sebarang kelulusan dan penganjur hanya perlu menghantar notis pelaksanaannya lima hari sebelum perhimpunan kepada pihak berkuasa.
“Tuduhan (tiada kelulusan) yang tidak berasas.
“SAMKA telah menyerahkan notis perhimpunan pada 29 Ogos, iaitu sembilan hari sebelum perhimpunan dan lokasi perhimpunan adalah kawasan awam, justeru kami telah mematuhi prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Dalam jawapan balas bertarikh 4 Sept kepada notis pemakluman itu, Shahril berkata perhimpunan itu tidak memenuhi kriteria permohonan Akta Perhimpunan Aman 2012 (pindaan 2019).
Beliau berkata perhimpunan berkenaan tiada kelulusan pemilik tempat berhimpun merujuk syarat di bawah subseksyen 10 (c), yang menyatakan pemberitahuan dibuat hendaklah disertai dengan suatu salinan persetujuan pemunya atau penghuni lokasi perhimpunan.
Perhimpunan itu dijadual bermula pada 11 pagi hingga 3 petang di Raub dan dijangka disertai lebih 1,000 pekebun durian tempatan, wakil NGO dan beberapa wakil rakyat.