
Aaron berkata biro berkenaan adalah antara tiga biro yang ditubuhkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (JK Harmoni) yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu-isu dan konflik berkaitan agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang berpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia
“Ini menjadikan mediasi sebagai kaedah penyelesaian alternatif bagi tujuan perdamaian atau menyelesaikan apa-apa pertikaian dan perselisihan dalam kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu susulan isu Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang membantah cadangan menempatkan pegawai Jakim di jabatan kerajaan.
MCCBCHST dalam satu kenyataan berkata cadangan itu berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.
Susulan kenyataan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berbincang dengan MCCBCHST bagi mengelakkan salah faham isu penempatan pegawai Jakim itu.
Pertemuan antara Na’im dan MCCBCHST dijadual diadakan esok.
Sementara itu, Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melantik 562 orang Mediator Komuniti untuk menyediakan perkhidmatan dan mengurus isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat.
“Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ianya diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan dalam membentuk Malaysia yang harmoni dan bersatu-padu,” katanya.