Tujuan SG4 baik tapi perlu teliti pasaran REE dunia, kata Zahid

Tujuan SG4 baik tapi perlu teliti pasaran REE dunia, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata harga REE dunia ketika ini merosot 70% disebabkan lambakan di pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi melihat penubuhan SG4 Group oleh empat negeri pembangkang bagi memajukan REE mempunyai tujuan baik tetapi harga pasarannya perlu diteliti.
KUALA LUMPUR:
Penubuhan Syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) oleh empat negeri ditadbir pembangkang bagi memajukan industri memproses nadir bumi (REE) sememangnya bertujuan baik, namun penelitian harus diberikan kepada harga pasaran unsur REE dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia berikutan harga REE dunia ketika ini telah merosot sebanyak 70% daripada harga asal disebabkan oleh lambakan REE di pasaran dunia, susulan pengeluaran simpanan stok oleh negara-negara tertentu.

“Walaupun harganya telah turun 70% daripada harga asal, tetapi potensinya ada dan empat negeri ini tentu mempunyai strategi (pengurusan) sendiri, namun ia tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang telah ditentukan oleh kerajaan Persekutuan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Duta Sepanyol ke Malaysia Jose Luis Pardo.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata SG4 Group akan memberi tumpuan untuk memajukan industri memproses REE dalam usaha meningkatkan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) uakni Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Sementara itu merujuk kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Mahkota, Zahid yang juga pengerusi BN berkata ia akan diumumkan oleh Menteri Besar Johor Onn Hafiz.

“Saya berikan kuasa kepada menteri besar Johor untuk umum calon Mahkota,” katanya secara ringkas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept ini.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.