
Pekan Ramli berkata banyak perkara perlu diperhalusi dan diperkemas sebelum idea ‘penswastaan’ pasukan bola sepak kebangsaan dapat dilaksanakan.
“Biar berdebat, bertengkar dan bergaduh hari ini daripada menyesal di kemudian hari,” katanya kepada FMT.
“Jangan hanya fikirkan projek penswastaan itu berfokus kepada ‘jalan pintas’ untuk kejayaan segera bagi skuad kebangsaan sahaja.”
Kelmarin, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga pemilik skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), melontarkan idea supaya pasukan kebangsaan bergerak asing atau diswastakan.
Tunku Ismail turut berkongsi mengenai sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu kelak.
Mengulas lanjut, Pekan Ramli berkata, perkara yang patut dilakukan untuk pasukan kebangsaan pada masa ini adalah suatu transformasi atau penstrukturan semula hala tuju pembangunan bola sepak negara.
Transformasi itu perlu bermula pada peringkat akar umbi hingga ke liga Malaysia, tambahnya.
“Program bersepadu dan berstruktur lebih profesional dan telus dengan menetapkan hala tuju yang bersasar perlu bermula dengan segera,” katanya.
“Belum pernah dengar lagi, atau mungkin saya terlepas pandang, negara yang menswastakan pasukan bola sepak kebangsaannya. Namun, perkara ini berlaku, dan digalakkan, pada peringkat kelab di kebanyakan negara Eropah.”
Sementara itu, seorang lagi penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berharap FAM menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dengan sasaran utama menjuarai Piala AFF pada hujung tahun ini.
Beliau berkata, pemain bola sepak negara juga perlu mempamerkan jiwa yang besar, seiring dengan sokongan diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada FAM.
“Dalam sukan ini, jika anda tidak menang, anda tidak mencapai apa-apa. Anda masih belum capai KPI,” katanya merujuk pengumuman dana RM15 juta oleh Anwar untuk pembangunan bola sepak dan kebajikan pemain Harimau Malaya.