
Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian pada 6.15 petang di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia itu dilakukan ketika pasukan operasi mengesan dua orang awam sedang menyeludup haiwan ternakan di tebing Sungai Golok.
Kenyataan itu memaklumkan haiwan ternakan dari sebelah sempadan Thailand dibawa masuk ke Malaysia dengan merentasi Sungai Golok, menggunakan kaedah merentangkan tali pada kedua-dua belah tebing sungai.
“Sewaktu diserbu, dua orang awam melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke arah Thailand, serta meninggalkan sembilan ekor kerbau dan seekor lembu di sempadan sebelah Malaysia.
“Turut ditinggalkan penyeludup, sebuah motosikal dan beberapa barangan peribadi termasuk kad pengenalan diri dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM78,705,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Lalang Pepuyu, Tanah Merah dan haiwan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Rantau Panjang.
“Kes penyeludupan ini disiasat oleh Jabatan Kastam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya.
“Berdasarkan rekod sepanjang tahun ini, terdapat tiga kes rampasan berlaku di kawasan sempadan termasuk semalam.
“Semua lokasi rampasan berlaku di kawasan yang berhampiran antara satu sama lain melibatkan sejumlah 87 ekor lembu dan sembilan kerbau,” menurut kenyataan itu.
Katanya, tentera darat akan terus komited dalam menjaga keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.