‘Saya tak akan lindung mana-mana kerabat’, kata Tengku Mahkota Pahang

‘Saya tak akan lindung mana-mana kerabat’, kata Tengku Mahkota Pahang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mahu siasatan secara adil berhubung dakwaan kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki, Jun lalu.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menegaskan sebarang kesalahan jika mempunyai bukti harus dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengarahkan siasatan segera, adil dan telus berhubung dakwaan kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sebuah kandang Kuda di Kuantan, dalam kejadian Jun lalu.

Tengku Hassanal menegaskan sebarang kesalahan jika mempunyai bukti harus dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan.

“Semua pihak sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes itu sebelum diserahkan semula kepada timbalan pendakwa raya.

Beliau mengesahkan beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan dibebaskan dengan jaminan selain beberapa saksi lain dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.

Media hari ini melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata.

Akibat serangan itu, lelaki terbabit dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.