
Bekas perdana menteri yang juga Penaung PMOBOR, Ismail Sabri Yaakob, berkata persatuan itu mempunyai jaringan luas bagi membantu kumpulan perniagaan dan pemain industri menembusi pasaran di negara berkenaan.
Beliau memberi contoh sebuah syarikat jualan langsung, CNI yang kini berada dalam senarai ‘top 20’ di China dan meletakan sasaran untuk berada di kedudukan ‘top 10’ dalam masa lima tahun.
“Dengan inisiatif BRI, PMOBOR yakin dan percaya CNI akan terus berjaya dan kekal kukuh di persada antarabangsa serta meningkatkan hubungan dua hala khususnya perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada CNI kerana telah berkembang begitu pesat dan berjaya dalam pelbagai bidang hingga berjaya bertapak di China dan meluaskan sayap perniagaannya di negara ini,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan 500 vendor CNI di Beijing, China, semalam.
Ismail bersama delegasi PMOBOR dalam rangka lawatan kerja ke negara itu selama 12 hari bermula kelmarin.
Lawatan kerja sempena 50 tahun hubungan Malaysia-China itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala khususnya dalam sektor perdagangan sekali gus membuka peluang baharu.