
Panel tiga hakim terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Azman Abdullah, dan Azmi Ariffin menolak rayuan S Kalidas, 37, terhadap sabitan dan hukuman penjara tersebut.
Kalidas diperintahkan menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 November 2018.
Azmi dalam penghakimannya bertarikh 4 Sept yang dimuat naik di laman web kehakiman berkata hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen membuat pertimbangan yang menyeluruh, adil, dan saksama sebelum menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Kalidas.
“Sudah terang lagi bersuluh tiada alasan untuk kami mencampuri, mengusik atau mengganggu hukuman setimpal tersebut,’ kata beliau.
Beliau juga berkata mahkamah seharusnya mengenakan hukuman yang berat bagi kes liwat seperti ini kerana kes jenayah seksual membimbangkan dan menjadi ancaman kepada masyarakat umum.
Azmi berkata adalah menjadi harapan mahkamah agar hukuman berat yang dijatuhkan dapat mengekang nafsu seks liar manusia yang tidak terkawal seperti dalam kes ini daripada berterusan.
Menurut pertuduhan, Kalidas dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap rakan selnya berusia 21 tahun di blok Damai, Penjara Sungai Buloh pada pukul 12.30 pagi, 12 Oktober, 2018.
Kalidas dan mangsa ditahan reman di penjara atas kesalahan dadah.
Pada 5 Ogos, 2021, Mahkamah Sesyen mendapati Kalidas bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta empat sebatan rotan.
Mahkamah Tinggi, pada Julai 25, 2022, menolak rayuan Kalidas dan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.