
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, Chow dipilih rakyat pada PRN lalu untuk terus menerajui Pulau Pinang buat penggal kedua dan sebarang usaha memaksanya melepaskan jawatan sebelum tamat penggal akan menyebabkan DAP dilihat sebagai parti tidak demokratik yang membelakangkan mandat rakyat.
Ditanya sama ada tindakan Chow tidak bertanding ketua DAP negeri sebagai usaha mengangkat Lim Guan Eng kembali menjadi ketua menteri selepas PRU akan datang, Azmil menjangkakan Ahli Parlimen Bagan itu tidak akan membuat kemunculan semula, sebaliknya melantik proksinya memimpin Pulau Pinang.
“Dalam barisan exco sekarang dipenuhi orang-orang beliau (Guan Eng) dan ketua menteri akan dipilih dari kalangan orang-orang ini. Maknanya, Guan Eng akan memilih ketua menteri secara proksi,” katanya kepada FMT.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, Chow kekal menerajui Pulau Pinang sehingga tamat penggal pentadbiran walaupun tidak lagi menjadi ketua DAP negeri selepas mengumumkan tidak bertanding pemilihan parti 22 Sept ini.
Katanya, beliau menghormati keputusan Chow itu demi pembaharuan dalam pimpinan DAP Pulau Pinang yang diterajuinya selama 25 tahun.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara menyifatkan tindakan DAP mengekalkan Chow sehingga tamat penggal sebagai penghormatan kepada Adun Padang Kota itu untuk melicinkan pentadbiran negeri.
“Jika berlaku pertukaran pemimpin tertinggi di peringkat negeri sebelum tamat penggal, ia hanya memperlahankan pentadbiran kerana perlu memberi ruang dan idea baharu kepada muka baharu.”
Beliau turut senada dengan Azmil bahawa Guan Eng tidak akan kembali menjadi ketua menteri, selagi kes mahkamahnya tidak selesai.
“Saya fikir keputusan Chow tidak bertanding pemilihan parti refleksi ke atas DAP sendiri yang sentiasa terbuka memposisikan calon muka baharu tidak terlalu berusia.”