
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan isu kebocoran maklumat membabitkan nota diplomatik dari Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Feb lalu.
“Surat itu belum ada kesahihan, tapi memang kita tak nafikan ada tuntutan bertindih (di kawasan Laut China Selatan) dan kita sentiasa memerhatikan apa berlaku antara China dan Filipina.
“Kita juga tak tolak kemungkinan kita perlu bersedia (dalam keadaan) apa pun,” katanya menurut Harian Metro selepas menghadiri Program Executive Lecture Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.
Semalam, Kementerian Luar dilaporkan berkata, ia melakukan siasatan dalaman susulan kebocoran maklumat terperingkat nota diplomatik China yang diterbitkan sebuah portal berita Filipina.
Minggu lalu, Philippine Daily Inquirer melaporkan Beijing menuntut Malaysia menghentikan segera aktiviti di kawasan kaya dengan minyak di perairan Sarawak.
Dokumen bertarikh 18 Feb lalu yang diterbitkan portal berita itu menuduh Malaysia menceroboh wilayah dituntut Beijing di Laut China Selatan.