
Beliau berkata, 60 doktor, jururawat dan pembantu perubatan bertugas sepanjang masa bagi memastikan rakyat Palestin menerima rawatan sebaik mungkin untuk sembuh daripada kecederaan.
Daripada 41 rakyat Palestin cedera yang dirawat di hospital itu, 11 kes memerlukan pembedahan ortopedik, termasuk empat perlu kerjasama doktor pakar dari Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, selain khidmat nasihat dalam bidang nefrologi dari Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pihaknya berjaya melakukan pembedahan implan orbital ke atas seorang kanak-kanak yang kehilangan anggota keluarga dan sedang menunggu penyesuaian mata palsu.
“Terdapat dua pesakit memerlukan pembetulan bibir serta lelangit dan dua pesakit memerlukan pemasangan kaki palsu,” katanya pada sesi lawatan khas bersama media di hospital itu baru-baru ini.
Turut hadir Komander Misi Perawatan Palestin itu, Dr Mohd Mansor Sharif dan Ketua Penyelia Jururawat Markas HAT Tuanku Mizan, Nursyida Jamaludin.
Mengulas lanjut, Zulkeffeli berkata, pihaknya membuat persediaan awal sebelum menerima pesakit Palestin bagi memudahkan persiapan dari segi jenis rawatan diperlukan, pelantikan pakar dan hubungan kerjasama dengan pusat perubatan lain.
“Pasukan peninjau terdiri daripada doktor pakar ATM yang dihantar lebih awal ke sana juga banyak membantu, terutama dari segi memastikan laporan perubatan pesakit yang akan dibawa ke sini adalah tepat.
“Laporan perubatan yang kami terima pada peringkat awal dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan ke bahasa Inggeris kemudian bahasa Melayu, jadi memang akan ada perkara tertinggal dalam proses penterjemahan itu dan pasukan ini akan memastikan diagnosis dilaporkan sama.”
Menurutnya, selain memastikan rawatan terhadap kecederaan rakyat Palestin dijalankan sebaik mungkin, pihaknya juga menyediakan khidmat kaunseling bagi memastikan psikologi pesakit diberikan perhatian.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan persekitaran selesa agar pesakit Palestin dapat menyesuaikan diri dengan baik, selain mendapat bantuan petugas di Kedutaan Palestin untuk memudahkan komunikasi antara pesakit dan doktor.
“Alhamdulillah perbincangan dari hari ke hari, mereka semakin selesa menerima rawatan di sini dan tidak timbul kebimbangan mengenai apa-apa perkara,” katanya sambil menambah rata-rata yang dirawat menghargai tindakan Malaysia memberikan rawatan perubatan kepada mereka.
Pada 16 Ogos lalu, 41 pesakit Palestin yang mengalami kecederaan akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza bersama 86 waris mereka tiba di Pangkalan Udara Subang dekat sini menaiki dua pesawat A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir.
Sementara itu, Nursyida berkata, petugas yang menjaga pesakit Palestin menggunakan pelbagai kaedah berkomunikasi dan mendapatkan kepercayaan mereka, termasuk Google Translate, bahasa isyarat dan mimik muka untuk bertanya khabar serta mengetahui sama ada sudah makan ubat.
Menurutnya, rata-rata pesakit itu melalui situasi peperangan berterusan sebelum dibawa ke Malaysia dan ini membuatkan mereka sukar mempercayai orang asing, selain kurang memahami bahasa Inggeris.
“Pada peringkat awal di sini, mereka amat risau akan keselamatan, terutama melibatkan anak-anak. Jika sebelum ini si ibu tidak akan meninggalkan anak bersendirian di wad, tetapi kini mereka berani berbuat demikian jika perlu menyelesaikan urusan seperti membasuh baju atau apa-apa urusan di rumah transit.
“Selepas tiga minggu (di HAT Tuanku Mizan), kami di sini seperti keluarga dan mereka memahami rakyat Malaysia ikhlas membantu.”