Perkeso diarah henti tuntutan hospital berkait kes kartel, kata menteri

Perkeso diarah henti tuntutan hospital berkait kes kartel, kata menteri

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata ia susulan laporan hospital yang dipercayai terlibat dalam kartel tuntutan palsu hilang upaya.

Sebahagian daripada 33 suspek yang direman untuk siasatan kartel tuntutan palsu hilang upaya Perkeso berjumlah RM2.1 juta sejak 2017. (Gambar China Press)
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menghentikan tuntutan daripada hospital dipercayai terlibat dalam kartel tuntutan palsu hilang upaya sejak Jun lalu, kata Menterinya Steven Sim.

Beliau berkata Perkeso juga diarahkan melakukan rombakan menyeluruh dan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi proses tuntutan supaya perkara sama tidak berulang.

“Ketika ini, siasatan dan Op Tunjang yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih diteruskan.

steven sims
Steven Sim.

“Dalam tempoh ini, Perkeso diminta mengambil langkah berhati-hati dan cermat dalam menguruskan isu tuntutan.

“Satu rombakan sepenuhnya telah diarahkan dan sedang dalam proses untuk dibuat satu SOP baharu,” katanya pada sidang media di Menara Perkeso hari ini, menurut Berita Harian.

Terdahulu dilaporkan seramai 33 individu termasuk dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta direman bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam kartel tuntutan palsu hilang upaya Perkeso berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Tiga doktor yang ditahan itu masing-masing bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya serta sebuah hospital swasta di Butterworth.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu berkata suspek lain terdiri daripada pencarum Perkeso, lapan ejen, pegawai perubatan dan dua ‘runner’ itu ditahan dalam siri serbuan pihaknya baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.