Pemulihan ringgit pecah rekod: Bagaimana dan mengapa?

Pemulihan ringgit pecah rekod: Bagaimana dan mengapa?

Faktor luaran dan dorongan domestik membantu mata wang Malaysia memulihkan kekukuhan nilainya.

Pada Ogos, ringgit mencecah paras tertinggi berbanding dolar AS dalam tempoh 14 bulan, mengatasi semua mata wang Asia Tenggara lain.
PETALING JAYA:
Ringgit mencatatkan pemulihan memberangsangkan, ditutup pada RM4.36 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Selasa lepas, paras terbaiknya dalam tempoh hampir 20 bulan.

Dengan penokokan 5.3% dalam tempoh 12 bulan, ringgit kini menjadi mata wang Asia yang menunjukkan prestasi terbaik.

Pemulihan ini sesuatu yang menakjubkan, memandangkan kemerosotannya ke paras terendah dalam tempoh 26 tahun pada Mei mencetuskan kebimbangan tentang kestabilan ekonomi Malaysia.

Namun, ringgit mulai pulih menjelang awal Ogos, mencapai paras tertinggi berbanding dolar AS dalam tempoh 14 bulan, mengatasi mata wang Asia Tenggara yang lain.

Bagaimana ini berlaku?

Pemulihan pantas ringgit boleh dikaitkan dengan dua faktor, iaitu kebezaan kadar faedah yang semakin mengecil dan prospek ekonomi lebih baik.

Setiap bank pusat menetapkan kadar faedah berdasarkan faktor-faktor seperti inflasi.

Kebezaan kadar faedah, iaitu jurang kadar faedah antara dua negara, mempunyai kesan ke atas mata wang setiap negara.

Baru-baru ini, ekonomi maju seperti United Kingdom dan Eropah mengurangkan kadar faedah mereka, juga dikenali sebagai kadar dasar. Pasaran turut menjangkakan AS melakukan perkara yang sama pada September.

Sebagai contoh, Bank Pusat Eropah dan Bank of England mengurangkan kadar faedah masing-masing sebanyak 25 mata asas (0.25%) pada Jun dan Ogos.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Rizab Persekutuan AS, yang memutuskan kadar faedah atau kadar dasar AS, dijangka akan menurunkannya ketika mesyuarat pada September.

Sementara itu, Bank Negara (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 3% sejak Mei tahun lepas.

Apabila jurang semakin mengecil, manfaat mengekalkan dolar AS berbanding mata wang lain seperti ringgit menjadi kurang ketara.

Ini membawa kepada peningkatan dalam permintaan terhadap ringgit dan mata wang lain, merangsang peningkatan nilainya.

Lebih daripada itu, pertumbuhan besar ekonomi Malaysia meluaskan prospek ekonomi, lalu meningkatkan keyakinan pelabur.

Keluaran dalam negara kasar negara (KDNK) meningkat sebanyak 5.9% pada suku kedua (Q2) tahun ini, daripada 4.2% pada suku pertama (Q1), mengatasi jangkaan penganalisis dan pasaran.

Membandingkan Q2 dan Q1, pertumbuhan dalam perbelanjaan isi rumah meningkat daripada 4.7% kepada 6%, eksport mencanak daripada 2% kepada 5.8%, dan ketibaan pelancong meningkat daripada 5.8 juta kepada enam juta.

Malaysia juga menarik lebih banyak pelaburan. Kegiatan pembinaan menyaksikan peningkatan, begitu juga sektor elektrik dan elektronik (E&E). Pelaburan dalam pusat data di seluruh negara meningkat sebanyak 17.3% pada Q2 berbanding 11.9% pada Q1.

Sokongan dasar yang berterusan dalam bentuk bantuan Budi Madani dan Akaun 3 KWSP juga membantu menghidupkan ekonomi, merangsang pemulihan ringgit.

Peningkatan keyakinan pelabur juga membawa kepada lebih banyak pelaburan langsung asing dalam pasaran tempatan, prasarana, kegiatan pembuatan, dan hutang kerajaan.

Peningkatan permintaan terhadap aset ringgit ini membantu mengukuhkan mata wang itu, menyumbang kepada pemulihan.

Sokongan kukuh

Peranan kerajaan dan BNM juga harus diiktiraf dalam pemulihan ringgit.

Kedua-duanya mengambil langkah penting dan menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menghantar pulang pendapatan dari luar negara dan menukarnya ke ringgit.

Kerajaan dan BNM juga menggandakan libat urus dengan perniagaan lain untuk menggalakkan mereka mengambil langkah yang sama.

Usaha ini akan mendorong permintaan lebih tinggi terhadap ringgit, dan dengan itu meningkatkan nilainya.

Menilai ekonomi

Seperti semua mata wang dalam ekonomi pasaran bebas, nasib ringgit berubah-ubah mengikut perkembangan di seluruh dunia. Contohnya peperangan, ketegangan geopolitik dan perkembangan lain di luar negara boleh sama ada mengukuh atau melemahkan nilai mata wang.

Mengambil kira perkara itu, adakah adil kesihatan ekonomi sesebuah negara dinilai berdasarkan mata wangnya? Bukankah asasnya sama penting?

Sewajarnya, usaha meningkatkan daya pengeluaran, menarik pelaburan bernilai tinggi, dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi sangat membantu ke arah mengukuhkan ekonomi.

Prestasi ekonomi yang lebih baik bermakna prospek akan menjadi lebih baik, seterusnya menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

Hasilnya, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia serta aset dalam denominasi ringgit seperti saham dan hutang akan turut meningkat.

Secara kolektif, ia akan meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

Mustahaknya reformasi struktur

Ringgit mungkin kembali kukuh tetapi adakah momentum ini akan berterusan?

Kuncinya adalah reformasi struktur. Langkah menjamin peningkatan nilai dan minat pelabur sangat diperlukan.

Bagaimanapun, bukan mudah melaksanakan reformasi. Kos jangka pendek perlu ditanggung dan dan kesan yang diharapkan akan mengambil masa untuk dicapai.

Meskipun begitu, reformasi tetap mustahak dan tiada masa lebih baik untuk memulakannya selain sekarang.

Apakah reformasi yang diperlukan?

Antara reformasi yang diperlukan termasuk:

1. Komitmen terhadap kemampanan fiskal, yang mesti merangkumi rasionalisasi subsidi;

2. Peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja;

3. Menarik pelaburan bernilai tambah tinggi; dan

4. Peralihan iklim yang teratur dan secara adil.

Reformasi struktur akan meningkatkan daya saing Malaysia, memacu minat yang kukuh terhadap tawaran Malaysia sebagai sebuah negara. Perkara ini akan menjadi sokongan paling stabil dan berkekalan terhadap ekonomi, dan ringgit.

Umpama perahu di lautan luas, ringgit akan dibuai mengikut alunan peristiwa dunia.

Ribut akan melanda dan mereda, laut mungkin tenang atau bergelora, tetapi jika perahu itu kuat dan kukuh, ia akan mampu mengharungi segalanya dan kekal dalam haluannya.

Begitulah jika ekonomi kukuh dan stabil, Malaysia boleh kekal fokus pada kemajuan, tidak terjejas dengan turun naik nilai ringgit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.