
Setiausaha Kerajaan Pahang Zulkifli Yaacob berkata kenyataan itu memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri dan juga menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Zulkifli berkata kerajaan Pahang menerima pemakluman daripada RISDA berkenaan pemberhentian operasi pengurusan TSKOA negeri itu melalui surat bertarikh 8 Feb lalu.
“Selanjutnya, kerajaan Pahang melalui majlis mesyuarat kerajaan pada 21 Feb memutuskan bahawa projek TSKOA diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) melalui kaedah memungut hasil tanaman (tapping right).
“Kelulusan ‘tapping right’ itu adalah penyelesaian bagi mengelakkan ketirisan hasil kerajaan negeri dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli yang terbabit di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.
Zulkifli berkata, susulan itu, kerajaan negeri melantik ORACO sebagai agensi pengurus bagi melaksana 59 projek TSKOA di seluruh Pahang yang membabitkan tanah milik kerajaan negeri.
Katanya, ketua pengarah Jakoa dan pengarah Jakoa Pahang sudah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ORACO pada 16 Nov 2021 dan terbabit dalam membuat keputusan yang diputuskan oleh mesyuarat ahli lembaga pengarah.
“Oleh yang demikian, pihak Jakoa secara jelas mempunyai pengetahuan berkaitan dengan pelantikan ORACO sebagai agensi pengurus bagi projek TSKOA ini.
“Selain itu, beberapa sesi libat urus, penerangan dan lawatan di 59 tapak projek TSKOA turut dihadiri pegawai-pegawai daripada JAKOA Pahang,” katanya.
Menurutnya, pengambilalihan projek itu adalah bagi menjamin kebajikan masyarakat Orang Asli dan merangsang pendapatan stabil serta berterusan.
Baru-baru ini, Johari dalam satu video di TikTok mengulas mengenai satu video tular mengenai beberapa penduduk Orang Asli yang dihalang masuk ke ladang untuk mengutip hasil sawit.
Beliau juga mengkritik pelaksanaan projek TSKOA selepas diambil alih ORACO.