Kebocoran nota diplomatik China, Wisma Putra buat siasatan dalaman

Kebocoran nota diplomatik China, Wisma Putra buat siasatan dalaman

Wisma Putra juga akan membuat laporan polis berkait laporan sebuah portal berita Filipina mengenai nota diplomatik itu.

wisma putra
Kementerian Luar berkata memandang serius isu kebocoran dokumen tersebut yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara kepada pihak umum.
PETALING JAYA:
Kementerian Luar melakukan siasatan dalaman susulan kebocoran maklumat terperingkat berkaitan nota diplomatik dengan China yang diterbitkan sebuah portal berita di Filipina.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata pihaknya juga akan membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan pihak berkuasa berkait penerbitan satu artikel di portal berkenaan pada 29 Ogos lalu.

“Artikel tersebut berhubung dengan satu nota diplomatik dari Kementerian Luar China yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Feb.

“Kementerian memandang serius isu kebocoran dokumen tersebut yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara kepada pihak umum,” kata kenyataan itu.

Pada minggu lalu, Philippine Daily Inquirer melaporkan Beijing menuntut Malaysia menghentikan segera aktiviti-aktiviti di kawasan yang kaya dengan minyak di perairan Sarawak.

Dokumen bertarikh 18 Feb, yang juga diterbitkan oleh portal berita tersebut, menuduh Malaysia menceroboh wilayah yang dituntut Beijing di Laut China Selatan.

Wisma Putra dalam kenyataan itu berkata, Malaysia dan China menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu mengenai Laut China Selatan secara aman menerusi konsultasi dan dialog.

Katanya, pada masa yang sama, pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan tidak pernah berganjak.

“Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.

“Pendekatan Malaysia ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain, termasuk China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.