
Dalam prosiding di depan Hakim Suzana Hussin, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh berkata representasi itu sudah ditaklimatkan kepada AGC, tetapi permohonan Adam, 43, ditolak.
Peguam Rajan Navaratnam yang mewakili tertuduh mengesahkan prosiding terdahulu menetapkan tarikh perbicaraan bermula November ini.
“Kami akan meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan pertama,” katanya menurut Sinar Harian.
Hakim menangguhkan prosiding itu ke 13 Nov depan.
Perbicaraan kes itu akan berlangsung pada 15 Jan depan, 19, 20, 24 dan 25 Mac, 16 serta 17 Jun, 1 hingga 3 Julai dan 4, 5, 6, 11, 12 serta 13 Ogos tahun depan.
Adam didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5% hingga 7% daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy, Mat Jusoh Mamat.
Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat di Perlis daripada kerajaan melalui rundingan terus yang keseluruhannya berjumlah RM47.8 juta.
Adam juga berdepan tiga pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta daripada pengarah syarikat Metrasys, Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa, selain secara rasuah meminta RM2 juta daripada Lian sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek sama.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.