4 lelaki kemuka represtasi gugur kes baling bom petrol

4 lelaki kemuka represtasi gugur kes baling bom petrol

Semua tertuduh itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Mei lalu.

Gavel
Empat tertuduh yang hadir ke Mahkamah Sesyen bagi sebutan kes membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Mei lalu. (Gambar Pexels)
KUALA LUMPUR:
Empat individu didakwa terlibat dalam kes membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Mei lalu mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan dihadapi mereka.

Peguam Haziq Aizuddin Subhi memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Nu’aman Mahmud Zuhudi bahawa pihaknya memfailkan representasi itu semalam.

“Sekiranya representasi pertama ditolak, kita akan hantar representasi kedua,” kata peguam itu pada prosiding sebutan kes terbabit.

Haziq mewakili empat tertuduh iaitu Muhammad Hasan Abd Hamid, 29, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, 23, M Preemraj, 25, dan Nor Rahman Sadik, 25.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersubahat bersama-sama suspek yang masih bebas melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Dang Wangi pada 2.17 pagi, 9 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi mengetahui keputusan representasi berikutan ia baru dihantar semalam dan perkara itu tidak dibantah oleh peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Sept ini bagi sebutan semula kes untuk mengetahui status representasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.