
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata kenyataan itu disifatkan tidak berhemah terhadap usaha kerajaan untuk menyelaras dan menyeragamkan dasar supaya lebih selari dengan prinsip Islam tanpa mengabai atau melanggar hak serta kebebasan orang bukan Islam.
Tegasnya, MCCBCHST seharusnya kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan murni ke arah persefahaman dan keharmonian hubungan antara kelompok-kelompok agama di Malaysia.
“Bukannya menjadi barisan depan atau jurucakap kepada mana-mana kumpulan, aliran atau ideologi politik yang boleh memecahkan kerukunan hidup bersama,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, MCCBCHST dalam kenyataan membantah cadangan menempatkan pegawai Jakim yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan Daily Express yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) David Ong berhubung perkara terbabit.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan tujuan pegawai Jakim ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan.
Takiyuddin berkata kritikan terbaharu selain bantahan terhadap pindaan Akta 355 untuk memperkukuh Mahkamah Syariah pada April dibuat berdasarkan rujukan serta tafsiran undang-undang separuh masak, tidak tepat dan sewenang-wenangnya.
Tegasnya, kritikan dalam dua isu itu jelas menunjukkan sikap Islamofobia MCCBCHST.
“Berserta naratif sumbang menggambarkan bahawa sebarang langkah menambah baik kedudukan dan pengamalan Islam di negara ini adalah ‘ancaman’ terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam,” katanya.