
Sharifah Munirah Alatas, timbalan pengerusi Gerak, sebuah gerakan akademik, menyatakan bahawa majlis itu masih belum memberikan sumbangan ilmiah yang besar kepada kebaikan negara meskipun menerima dana kerajaan.
Beliau berkata, MPN sebelum ini digunakan untuk mengesahkan parti politik yang memerintah, bukannya mempromosikan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai etika yang membantu pembangunan negara.
“MPN seolah-olah tunduk kepada kuasa yang ada dan bukannya mencari kebenaran atau penciptaan ilmu baru,” katanya kepada FMT.
Ahli ekonomi Nungsari Ahmad Radhi yang juga pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, berkata beliau tidak melihat keperluan untuk MPN kerana semua profesor dilantik dan bergabung dengan universiti.
Katanya, walaupun profesor bebas untuk membentuk persatuan, ia tidak seharusnya melibatkan dana pembayar cukai.
“Mereka boleh menjalankan apa saja di platform itu seperti menyuarakan pandangan, menawarkan perkhidmatan perundingan, menyumbang kepada dasar, dan lain-lain, di luar tugas pengajaran, penyeliaan pelajar, dan penyelidikan di universiti mereka,” katanya.
Munirah berkata profesor sepatutnya terlibat dalam penyelidikan kritikal dan syarahan serta bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang, bukannya sekadar menjadi suara kerajaan.
“Sebagai contoh, di mana kajian mikro dan ‘jujur’ tentang polarisasi etnik dan hubungan kaum di negara ini? Bagaimana pula dengan kajian yang sangat diperlukan mengenai pembalakan tanpa kawalan, perbandaran, kenaikan aras laut, perubahan iklim, dan penempatan semula masyarakat Orang Asal?” katanya.
“Oleh itu, persoalan penting yang perlu ditanya ialah, bagaimana MPN menyumbang kepada kebaikan hidup rakyat Malaysia? Bubarkan sekarang,” katanya.
Munirah berkata majlis itu dibubarkan 2018 apabila Pakatan Harapan berkuasa dan dikeluarkan daripada bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri kerana dianggap ‘alat politik’ dan ‘tidak penting’.
Bagaimanapun, pada 2022, ia disusun semula dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi.
Rabu lalu, Presiden MPN, Raduan Che Rose, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan RM271,000.
Raduan adalah pengerusi lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara dan pengarah MPN Global Reach Sdn Bhd, anak syarikat milik MPN.
Beliau didakwa dua tuduhan memindahkan RM71,000 dana MPN ke dalam akaun bank Ketua Eksekutif MPN Global Reach, Kefli Mahpol, dan memindahkan RM200,000 sebagai bayaran pendahuluan untuk program yang diadakan bersama UKMShape, entiti Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kefli didakwa atas tuduhan bersubahat.
Raduan menganggap tuduhan itu sebagai ‘mengarut’ dan berkata beliau akan kemuka suatu representasi kepada Jabatan Peguam Negara.