Anwar umum RM15 juta untuk pembangunan bola sepak Harimau Malaya

Anwar umum RM15 juta untuk pembangunan bola sepak Harimau Malaya

Perdana menteri mahu Malaysia bukan saja memacu pertumbuhan ekonomi, malah cemerlang dalam sukan bola sepak.

Peruntukan RM15 juta itu juga termasuk sumbangan daripada syarikat yang bertujuan membantu membangunkan bola sepak dan kebajikan pemain Harimau Malaya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar EPA Images)
PUTRAJAYA:
Sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan bola sepak dan kebajikan pemain Harimau Malaya, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata RM10 juta diperuntukkan daripada Kementerian Kewangan manakala baki RM5 juta disumbangkan oleh syarikat-syarikat.

“RM15 juta ini khusus untuk pasukan Harimau Malaya, bukan untuk persatuan… untuk pengurusnya, jurulatihnya, kebajikan pemain-pemain. Itu keutamaan,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.

“Mudah-mudahan selain kita dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan sebagainya, bola sepak Malaysia juga cemerlang.”

Beliau juga memberi ‘lampu hijau’ kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan khidmat jurulatih dan pengurus dari luar negara jika usaha itu mampu mengangkat kembali martabat bola sepak negara.

“Kalau kita dapat pengurusan dan jurulatih yang tarafnya betul-betul tunjukkan komitmen mereka, tak apa la dari luar (pun)… kemungkinan (untuk) peringkat awal.

“Saya percaya kita mampu angkat nama dan kewibawaan Harimau Malaya,” katanya akan berjumpa pengurusan FAM bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk perbincangan lanjut.

Anwar berkata bagi tujuan kecekapan tadbir urus, seorang pegawai kanan dari Kementerian Kewangan akan dilantik untuk memantau pengurusan kewangan perjalanan program berkenaan.

“Saya akan bincang dengan FAM untuk berikan kerjasama kerana ini bidang dan tanggungjawab mereka.”

Skuad bola sepak kebangsaan berdepan tamparan hebat apabila Kim Pan Gon meletak jawatan sebagai jurulatih secara tiba-tiba pada Julai lalu walaupun kontraknya tamat pada Disember 2025.

Kekosongan ditinggalkan Pan Gon, dari Korea Selatan menyaksikan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dan dibantu E Elavarasan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM Posa Majais pula memaklumkan tidak sampai 1,000 keping tiket aksi Pestabola Merdeka melibatkan aksi Harimau Malaya menentang Filipina pada Rabu ini, dijual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.