Soosaimanicckam lemah, tetapi tolak dapatkan rawatan 3 kali, kata saksi

Soosaimanicckam lemah, tetapi tolak dapatkan rawatan 3 kali, kata saksi

Saksi, Leftenan R Rashwin berkata, beliau mencadangkan pegawai kadet berusia 27 tahun itu mendapatkan rawatan, tetapi dia menolak.

Pegawai kadet graduan tentera laut, J Soosaimanicckam meninggal dunia pada 2018 selepas mengalami sakit dada dan sesak nafas susulan latihan fizikal. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai tentera laut memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa J Soosaimanicckam pernah tiga kali menolak untuk mendapatkan rawatan walaupun kelihatan lemah ketika menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut.

Leftenan R Rashwin, 43, yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Kejuruteraan di Depot Logistik Wilayah 3, Pangkalan TLDM Langkawi, Kedah berkata, sebaik sahaja beliau selesai bertugas pada 19 Mei 2018, Soosaimanicckam berjumpa dengannya meminta masa untuk berehat.

“Saya membenarkan (Soosaimanicckam) duduk di kerusi batu bersebelahan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Hakim Idah Ismail.

“Semasa (Soosaimanicckam) berehat, saya mendapati dia senyap dan kelihatan sedikit lemah. Saya bertanya dan mencadangkan kepadanya sama ada dia ingin melapor sakit dan mendapatkan rawatan. Namun, dia menolak cadangan saya sebanyak tiga kali,”

Saksi defendan keenam itu memberikan keterangan dalam kes saman difailkan bapa Soosaimanicckam, S Joseph terhadap 11 individu termasuk pegawai dan panglima tentera laut, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, menteri pertahanan dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga ke-15.

Menjawab soalan Peguam Persekutuan Abdul Hakim Abdul Karim mengenai keadaan Soosaimanicckam ketika itu, saksi berkata, pegawai kadet berkenaan menyatakan dia ‘ok’ apabila ditanya, walaupun pernafasannya agak dalam tetapi tenang.

Rashwin yang sebelum ini merupakan Pegawai Dalam Latihan berpangkat Leftenan Muda daripada Kursus Aplikasi Pegawai Muda ke-11 berkata, beliau mengajak Soosaimanicckam berjalan-jalan menaiki keretanya untuk keluar dari pusat latihan berkenaan.

“Pada ketika itu, dia teruja dan setuju. Saya meminta dia pergi bersiap dan dia bangun dan berjalan masuk ke Wisma Kadet jam lebih kurang 11.55 pagi. Niat sebenar saya adalah untuk membawa beliau ke Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT). Saya menunggu di depan blok penginapan tersebut untuk bawa dia ke hospital.

“Kira-kira 12.15 tengah hari, saya mendapat makluman daripada rakan kumpulannya bahawa dia dalam keadaan lemah dan terpaku berdiri di bilik air,” katanya.

Berikutan situasi itu, Rashwin berkata, beliau mengarahkan rakan-rakan Soosaimanicckam membantu mempersiapkannya untuk dibawa ke HAT bagi mendapatkan rawatan.

“Saya melihat Soosaimanicckam berjalan secara perlahan dari bilik penginapan ke kereta yang terletak di hadapan foyer blok penginapan. Lebih kurang tiga langkah sebelum sampai ke pintu belakang kereta, dia rebah dan cecair mula keluar dari mulutnya.

“Dia diangkat masuk ke dalam kereta dan saya terus bergegas ke HAT. Sejurus tiba di hospital, dia terus dimasukkan ke bilik kecemasan oleh doktor yang bertugas ketika itu,” katanya.

Menerusi saman difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan kerana gagal memberikan rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan.

Pada 29 Julai lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid, dengan punca kematiannya adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan baginya.

Soosaimanicckam, yang ketika itu berusia 27 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut pada 19 Mei 2018.

Tentera laut dalam kenyataan media pada 20 Mei 2018 memaklumkan, pegawai kadet graduan itu mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih, pada 12.20 tengah hari.

Ketua polis Manjung ketika itu, Muhammad Hanif Othman berkata, hasil siasatan forensik mendapati mangsa maut akibat paru-paru berair dan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal. Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, keluarga Soosaimanicckam kemudian menuntut tentera laut dan polis memberikan penjelasan terperinci berhubung kematian itu.

Mereka mendakwa, timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam, memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Laporan perubatan Soosaimanicckam sebelum menjalani latihan bagaimanapun menyatakan dia seorang yang sangat sihat.

Soosaimanicckam melapor ke KD Sultan Idris bagi menjalani latihan kursus kelayakan pegawai graduan pada 12 Mei 2018, iaitu seminggu sebelum kematiannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.