SG4 tumpu majukan industri REE, kata Samsuri

SG4 tumpu majukan industri REE, kata Samsuri

Pengerusi SG4 itu berkata ia berikutan industri baharu terbabit berupaya memberi hasil pendapatan tinggi.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beberapa negara luar seperti China, Korea Selatan dan Jepun juga telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan SG4 dalam industri memproses unsur nadir bumi. (Gambar Bernama)
BANGI:
SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) akan memberi tumpuan untuk memajukan industri memproses unsur nadir bumi (REE) dalam usaha meningkatkan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusinya Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, ia berikutan industri baharu terbabit berupaya memberi hasil pendapatan tinggi.

Katanya, beberapa negara luar seperti China, Korea Selatan dan Jepun juga telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan SG4 dalam industri berkenaan.

“Apabila kita proses dan tukar (REE) ke dalam bentuk yang lebih bernilai tinggi, harganya berlipat kali ganda. Apatah lagi apabila (ia) menjadi satu elemen yang dalam bentuk tulen seperti kadmium (unsur logam) dan sebagainya, harga jauh beratus kali ganda (tinggi).

“Maka, tentulah kita akan berusaha untuk menjadikan proses elemen ini sebagai satu keutamaan,” kata menteri besar Terengganu itu pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4), hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.

SG4 ditubuhkan tahun lalu melibatkan kerjasama Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis untuk membangunkan pelan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.