
Presiden Hadi Awang berkata buat masa ini perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat parti.
“Semua akan dilihat mana (parti) yang lebih baik. Masih dalam perbincangan dalam parti,” katanya pada sidang media sempena persidangan kemuncak empat kerajaan negeri (SG4).
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika mahu bertanding PRN Sabah.
Kelmarin, Hadi membayangkan parti itu akan bertanding pada PRN Sabah, sambil meramalkan masa depannya lebih baik berdasarkan kehadiran ramai anak muda pada konvensyennya.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengakui PAS perlu menang di Sabah jika ingin memerintah Putrajaya.
Sementara itu, Hadi berkata sebarang kenyataan mengatakan PAS tidak perlu bertanding PRN Sabah, tidak mengganggu keputusan akan dibuat.
“Bergantung kepada kita buat keputusan, bukan mereka,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan penganalisis berpendapat belum mencukupi untuk PAS merealisasikan cita-cita menang kerusi pertama di Sabah hanya bersandarkan dakwaan Hadi berhubung kehadiran ramai anak muda pada konvensyennya di negeri itu, kelmarin.
Romzi Ationg berpendapat, tidak salah Hadi memasang angan-angan itu namun perlu terlebih dahulu memastikan ideologinya memenuhi cita rasa pengundi di Sabah yang bakal mengundi pada PRN tahun depan.
Sejak ditubuhkan, ideologi PAS cenderung kepada perjuangan Melayu dan Islam yang membantunya menguasai banyak kerusi pada PRU15 dan PRN Ogos tahun lalu.
Menurutnya, PAS mempunyai tugas besar berbuat demikian apatah lagi rekod kurang memberangsangkan pada pilihan raya dan hanya mendapat Adun lantikan melalui Aliakbar Gulasan yang dilantik kerajaan Sabah selepas PRN 2020.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik Oktober tahun depan, dengan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.