Motosikal baharu 150cc ke atas wajib ada ABS

Motosikal baharu 150cc ke atas wajib ada ABS

Zahid Hamidi berkata menurut kajian sistem brek anti kunci mengurangkan risiko kematian sebanyak 31%.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata kerajaan mahu mengurangkan nahas jalan raya melibatkan penunggang.
PUTRAJAYA:
Semua motosikal baharu berkapasiti 150cc dan ke atas perlu mempunyai sistem brek anti kunci (ABS) mulai 1 Jan depan, yang merupakan antara inisiatif kerajaan mengurangkan kemalangan jalan raya, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas, berkata malah berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31% semasa kemalangan.

“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian pengguna jalan raya di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara Asean lain untuk melaksanakan langkah sama, menjadikan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS).

Turut hadir Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Zahid berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah melaksanakan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP), sistem penarafan holistik pertama di dunia untuk motosikal, dan MyMAP telah melaksanakan penilaian terhadap 28 model daripada tujuh syarikat motosikal.

“Inisiatif ini memacu industri motosikal ke arah pasaran berorientasikan keselamatan yang memberi manfaat kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Zahid juga mencadangkan supaya skop MyMAP diperluaskan ke luar Malaysia untuk merangkumi rantau Asean atau Asia, meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.

“Dengan ini kita boleh tahu motosikal dari syarikat mana yang lebih selamat dan mana yang sebaliknya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.