
Menurut peguam Md Yunos Shariff, yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bulan ini, lapor Harian Metro.
Katanya, pembelaan akan memohon kepada mahkamah berhubung tarikh pengurusan kes untuk mengemukakan representasi berkenaan.
“Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya kepada media selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosli Ahmad.
Terdahulu, dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farhana Ismail memaklumkan mahkamah bahawa dokumen berkaitan kes akan dikemukakan kepada pembelaan menerusi emel.
Katanya, pihaknya juga akan mengemukakan 20 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada prosiding perbicaraan akan datang.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kes akan dibicarakan selama 12 hari iaitu pada 5 hingga 8 Mei, 26 hingga 29 Mei 2025 dan 23 hingga 26 Jun 2025.
Sayed Amir Muzzakkir sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku pengarah urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk polis bernilai RM381,112,042.44.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, dan di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 4 petang awal Disember 2020 dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.