Bapa penyerang balai polis Ulu Tiram didakwa pertuduhan baharu

Bapa penyerang balai polis Ulu Tiram didakwa pertuduhan baharu

Radin Imran Radin Mohd Yassin didakwa memiliki dua buku berkaitan kumpulan pengganas, Islamic States.

Radin Imran Radin Mohd Yassin dikawal ketat anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bapa kepada suspek penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu didakwa atas pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, didakwa memiliki sebuah buku bertajuk Hakikat Islam dan Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman, berkaitan kumpulan pengganas, Islamic States (IS), lapor Sinar Harian.

Radin Imran yang juga tertuduh pertama didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Susulan tuduhan baharu itu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan Radin Imran daripada pertuduhan keempat yang membabitkan tuduhan sama, atas alasan teknikal.

Hakim Rasidah Roslee kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan sebelum pertuduhan baharu itu dibacakan terhadap tertuduh tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah turut membenarkan sebutan semula kes terhadap Radin Imran dan empat lagi ahli keluarganya yang berdepan dengan sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi IS ditetapkan pada 24 Sept depan.

Yazid memohon lanjutan masa bagi serahan laporan pakar sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Empat lagi tertuduh adalah ibu suspek penyerang, Rosna Jantan, 59, dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Semua tertuduh diwakili peguam Arief Firdaus Ashikin.

Pada 19 Jun lepas mereka didakwa di mahkamah yang sama atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan dan menanam fahaman kumpulan IS.

Dalam kejadian serangan di balai polis itu pada 17 Mei lepas dua konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban selepas diserang seorang lelaki, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Suspek turut ditembak mati dalam insiden serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.