Syarikat perladangan dicadang kembalikan 20% tanah pajakan

Syarikat perladangan dicadang kembalikan 20% tanah pajakan

Cadangan itu sedang dikaji Majlis Ekonomi Bumiputera bersama kerajaan negeri termasuk Wilayah Persekutuan sebelum dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam, Bagan Datuk. (Gambar Bernama)
BAGAN DATUK:
Syarikat perladangan yang tamat tempoh pajakan dengan kerajaan dicadang mengembalikan 20% daripada keluasan tanah yang dipajak itu kepada kerajaan negeri, jika mahu kembali menyambung pajakan.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata cadangan itu sedang dikaji dengan teliti oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bersama kerajaan negeri termasuk Wilayah Persekutuan, sebelum ia dilaksanakan.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) MEB berkata cadangan itu, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membolehkan rakyat mendapat faedah daripada tanah yang dikembalikan itu.

“Kita minta tanah-tanah estet supaya apabila tamat tempohnya, yang lazimnya semasa zaman Inggeris dulu diberikan (pajakan) 99 tahun, dikembalikan hanya 20% sahaja, jika mahu disambung penggunaannya.

“20% itu diberikan balik kepada kerajaan negeri untuk kerajaan negeri dapat faedah dibangunkan untuk rakyat,” katanya katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam.

Sementara itu, mengenai projek di Kampung Sungai Pergam Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata projek membina dan menaik taraf Jalan Utama Parit 1 hingga Parit 10 diluluskan tahun lepas bawah Rancangan Boleh Pinda Ke-3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos pembinaan RM88 juta.

Projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 4km dan membina jalan baharu sepanjang 2.5km, yang akan menghubungkan jalan utama Kampung Sungai Pergam sehingga ke Jalan Persekutuan FT69, yang dijangka siap pada 2028.

Beliau berkata, projek itu akan melebarkan lagi jalan dan memendekkan perjalanan penduduk Kampung Sungai Pergam ke Pekan Bagan Datuk.

Bagi projek menaik taraf jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro’ pula, ia melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada kepada dua lorong sepanjang 114m dan menggantikan jambatan lama dengan pembetung, melibatkan kos RM2.9 juta.

Jambatan itu berada di persimpangan utama pekan Bagan Datuk yang menghubungkan Kampung Pasang Api dan kawasan berhampiran ke laluan utama Jalan Persekutuan FT69.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.