Muafakat Nasional tak relevan di Sabah, Sarawak, kata penganalisis

Muafakat Nasional tak relevan di Sabah, Sarawak, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata ini kerana perbezaan aspirasi penduduk di Malaysia Timur itu yang cenderung isu autonomi dan pembangunan infrastruktur.

Jismit Japong
Baru-baru ini, 30 AJK Muafakat Nasional (MN) Sabah meletak jawatan dan mendakwa membawa kepada pembubaran NGO itu di negeri terbabit. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kehadiran Muafakat Nasional (MN) disifatkan tidak sesuai di Sabah dan Sarawak, kata penganalisis mengambil kira perjuangan pemimpinnya yang menganggotai parti politik cenderung membawa isu Melayu dan Islam.

Dakwa mereka, kebimbangan itu mungkin wujud walaupun MN mendakwa mengamalkan pendekatan mengikut nilai kesederhanaan serta keterbukaan, sambil menerapkan elemen nasionalisme tinggi dalam aktivitinya.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata aspirasi penduduk di Malaysia Timur itu lebih cenderung kepada isu autonomi, pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan ekonomi.

Menurutnya, justeru itu perjuangan MN dibimbangi dipersoalkan memandangkan Pengerusinya Annuar Musa sering dilihat membangkitkan isu berkait Melayu serta Islam di atas kapasitinya selaku pemimpin PAS.

“MN mungkin sukar menyesuaikan agenda lebih inklusif dan selaras dengan keperluan dan aspirasi masyarakat pelbagai etnik di kedua-dua negeri itu.

“Pendirian politik (kecenderungan PAS dalam politik Melayu dan Islam) diambil Annuar juga mungkin dilihat sensitif kepada penduduk di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada FMT sambil menyebut MN dilihat kurang bersuara dalam isu negeri terbabit

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata kewujudan MN itu tidak lebih sekadar gerakan bersifat peribadi oleh pemimpin disingkirkan daripada parti politik sekali gus tidak mampu menarik sokongan meluas daripada rakyat.

“MN nampak macam organisasi hanya bergantung kepada pengaruh individu dan seolah-olah diwujudkan orang berpengaruh untuk membuktikan keberadaannya (dalam arena politik).

“Tapi hasilnya mereka tak berkembang, tiada signifikan,” katanya sambil membandingkannya dengan Bersih yang semakin popular kerana perjuangannya dalam melaksanakan pilihan raya dan pentadbiran adil.

Baru-baru ini, 30 ahli jawatankuasa MN Sabah diketuai Jismin Japong meletak jawatan membawa kepada pembubarannya di negeri itu.

Tindakan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap Annuar dan pimpinan MN pusat.

Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif MN Mohd Irwan Rizal menafikannya kerana MN Sabah masih berstatus penaja dengan sebahagian pemimpinnya belum disahkan pelantikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.