Manfaat pengaruh pemimpin seperti Ismail, Umno diberitahu

Manfaat pengaruh pemimpin seperti Ismail, Umno diberitahu

Penganalisis Azmi Hassan berkata Ismail Sabri Yaakob telah membuktikan kesetiaannya kepada Umno.

Sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tiada masalah dengan Zahid Hamidi ketika menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berpandangan Umno seharusnya memanfaatkan pengalaman dan pengaruh pemimpin seperti bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob untuk kembali bangkit pada PRU16.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata bekas naib presiden Umno itu telah membuktikan kesetiaannya kepada parti terutama kepada presidennya, Zahid Hamidi di sebalik dakwaan dibuat pelbagai pihak.

“Umno perlu ambil peluang daripada individu berpengaruh seperti bekas perdana menteri Ismail dengan memberinya penghargaan.

“Walaupun Ismail pada masa kini dilihat dipinggirkan tetapi keterbukaannnya membuktikan beliau tidak memburukkan Umno dan boleh bantu parti kembali bangkit,” katanya kepada FMT.

Dalam program audio siar Keluar Sekejap disiarkan Rabu lalu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menegaskan ‘beliau orang parti’, sentiasa mengangkat suara parti dalam kerajaan dan tidak pernah mempunyai masalah dengan Zahid.

Beliau mengakui rasa hormat terhadap Zahid selaku presiden mengatasi segalanya walaupun menjadi perdana menteri ke-9 dari Ogos 2021 hingga November 2022, atas kapasiti sebagai naib presiden ketika itu.

Ismail menggantikan Muhyiddin Yassin yang diangkat sebagai perdana menteri kelapan menerusi Langkah Sheraton.

Langkah Sheraton merujuk kepada satu gerakan politik berlaku pada Februari 2020, apabila sekumpulan Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS bergabung menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selama 22 bulan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat Umno perlu ada pendekatan berdasarkan kesetiaan dan rekonsiliasi sebelum memberi sebarang peranan utama kepada seseorang ahli atau pemimpin.

“Perkara ini boleh dilakukan melalui perbincangan tertutup atau ujian kesetiaan dalam keputusan politik kritikal.

“Dengan memastikan kesetiaan ada kepada pemimpin seumpama itu, Umno dapat mengurangkan risiko ‘sokongan senyap’ kepada PN di masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.