Maksimum 6 bulan baiki tanah jerlus Jalan Masjid India

Maksimum 6 bulan baiki tanah jerlus Jalan Masjid India

Datuk Bandar KL Maimunah Mohd Sharif berharap orang ramai tidak melintasi kawasan kawalan dan patuh arahan DBKL.

Tanah jerlus di Jalan Masjid India mengakibatkan wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, jatuh dan hilang.
PETALING JAYA:
Tiga hingga enam bulan diperlukan bagi kerja pembaikan kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, yang mengakibatkan wanita warga India jatuh dan hilang pada 23 Ogos lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif, berkata justeru orang ramai dinasihatkan patuh mengikut arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan tapak kejadian.

“Janganlah melintasi kawasan kawalan dan pembaikan untuk keselamatan semua,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam kejadian tanah jerlus berkenaan, Vijaya Lakshmi, 48, yang berada di negara ini untuk melancong dilaporkan terjatuh secara tiba-tiba di kawasan tanah jerlus itu.

Berikutan itu, kawasan dari pintu gerbang sehingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100 meter tidak boleh dilalui oleh pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Vijaya Lakshmi dihentikan selepas mengambil kira isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden.

Menurut tinjauan Bernama, Jalan Masjid India kembali meriah dengan pengunjung mula memenuhi premis perniagaan yang beroperasi sepenuhnya hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.