Lebih RM80 juta barang dirampas dalam Ops Tiris

Lebih RM80 juta barang dirampas dalam Ops Tiris

Armizan Mohd Ali berkata seramai 496 individu kerana melakukan kesalahan berkaitan barangan kawalan dan bersubsidi dalam lapan bulan tahun ini.

Armizan Mohd Ali berkata Ops Tiris dilancarkan dalam usaha mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi. (Gambar fail)
KUDAT:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 496 individu dan merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta dalam Ops Tiris 3.0 yang dijalankan antara 1 Jan hingga 28 Ogos lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh sama, sejumlah 29,487 pemeriksaan diadakan di seluruh negara dan sebanyak 2,005 kes direkodkan.

Beliau berkata pelaksanaan Op Tiris 3.0 penting dalam usaha mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis 1 kilogram.

“Kementerian akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong.

armizan
Armizan Ali.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lepas.

Beliau berkata dalam serbuan terbabit, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah hampir RM500,000,” katanya sambil menambah seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan.

Armizan berkata hasil siasatan awal mendapati aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1 kilogram bagi jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata siasatan sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu.

“Kementerian ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg 1 kilogram agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan,” katanya.

Beliau berkata syarikat pembungkus akan turut disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.