KL dah padat, Kok cadang perumahan Madani diperluas ke kawasan lain

KL dah padat, Kok cadang perumahan Madani diperluas ke kawasan lain

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencadangkan projek itu dilaksanakan di kawasan lain Lembah Klang atau 'Greater KL' di Selangor.

Teresa Kok berkata Anwar Ibrahim mungkin tidak sepenuhnya memahami demografi Taman Desa dan ada penduduk B40 turut menentang projek pembangunan berlebihan di kawasan itu.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mencadangkan projek perumahan Madani diperluaskan ke kawasan lain di Lembah Klang, berbanding ditumpukan di Kuala Lumpur yang telah padat.

Wakil rakyat DAP itu berkata beliau menyokong usaha menyediakan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah, namun faktor lain juga perlu diambil kira antaranya kepadatan dan kekurangan kemudahan.

Menurut Kok, faktor itu antara punca ramai penduduk di Taman Desa membantah projek Residensi Suria Madani dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

Jelasnya, bantahan itu bukan hanya datang dari golongan kaya tetapi B40 dan M40 yang tinggal di perumahan kos rendah seperti Pangsapuri Teratak, Pangsapuri Sri Lempah serta Pangsapuri Iris.

Sehubungan itu, Kok berkata wajar kerajaan mengkaji semula cadangan pembangunan projek Perumahan Madani di bandaraya Kuala Lumpur dengan memfokuskan ke kawasan lain di Lembah Klang atau dikenali ‘Greater KL’.

Kawasan terbabit adalah Sepang, Putrajaya, Ampang Jaya, Shah Alam, Selayang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kajang dan Klang.

“Kerajaan Selangor yang mentadbirnya boleh bekerjasama dengan persekutuan untuk mengenal pasti lokasi sesuai untuk Perumahan Madani.

“Harga tanah lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur membolehkan kepadatan dan kos projek dikurangkan serta mengurangkan kebergantungan pada subsidi bersilang daripada projek perumahan mewah,” kata Kok dalam kenyataan.

Menurutnya, langkah memperluaskan ke kawasan perbandaran di bawah Greater KL itu juga akan mempromosikan pertumbuhan serantau dan memupuk strategi pembangunan bandar lebih seimbang.

“Memindahkan projek Perumahan Madani ke kawasan Greater KL dan Lembah Klang menawarkan pendekatan lebih mampan dan adil, memanfaatkan kerajaan persekutuan dan negeri serta menyumbang persekitaran bandar dirancang lebih baik,” katanya.

Khamis lalu, Anwar berkata beliau tidak akan mempedulikan bantahan golongan elit terhadap pembinaan projek rumah mampu milik di sekitar ibu negara termasuk di Taman Desa.

Katanya, kediaman untuk golongan berpendapatan rendah perlu dibina memandangkan mereka juga bekerja di Kuala Lumpur.

Sebanyak 16 kumpulan penduduk di Taman Desa menulis surat kepada perdana menteri menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pembangunan berlebihan, yang menurutnya menyebabkan kesesakan lalu lintas dan merosakkan pemandangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.