Kerajaan mahu tangani ‘deepfake’, salah guna data peribadi

Kerajaan mahu tangani ‘deepfake’, salah guna data peribadi

Timbalan menteri komunikasi berkata sesi libat urus akan diadakan dengan penyedia platform media sosial bagi melindungi kandungan peribadi pengguna.

social media
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata SKMM akan bincang SOP melibatkan kandungan peribadi pengguna dengan penyedia platform bulan ini.
KULAI:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan SOP melibatkan kandungan peribadi pengguna bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata perjumpaan itu juga bertujuan menjalin kerjasama bagi memastikan data peribadi pengguna tidak disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita akan buat sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial supaya kita boleh wujudkan SOP lebih ketat dan efektif. Langkah ini penting bagi membolehkan SKMM atau polis menjalankan siasatan.

“Teknologi seperti ‘deepfake’ sudah lama ada, tetapi dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), ia turut digunakan scammer untuk penyebaran gambar lucah dan bahan melibatkan kanak-kanak. Itu sebabnya kita perlu dapatkan kerjasama dengan penyedia platform seperti Meta, Telegram, dan TikTok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jom Tonton Wayang ‘Takluk: Lahad Datu’ bersama warga Kulai di sebuah pusat beli-belah.

Ahli Parlimen Kulai berkata, menerusi sesi libat urus tersebut diharapkan penyedia platform media sosial dapat melakukan pengawalseliaan kendiri terhadap kandungan berunsur jenayah dalam platform masing-masing.

“Teknologi akan semakin ke depan dan tidak munasabah jika kita tidak menggunakannya. Tetapi, kita perlu lebih berhati-hati apabila hendak kongsikan sebarang maklumat di media sosial bukan sahaja maklumat peribadi, tetapi juga berkaitan kanak-kanak.

“Apa yang perlu kita faham adalah apabila kita pilih untuk kongsikan sesuatu maklumat di media sosial, adalah susah untuk dipadam semula sekiranya terdapat pihak memuat turun data tersebut,” katanya.

Sokong filem tempatan

Sementara itu, Teo berkata rakyat diharap dapat memberi sokongan kepada filem tempatan yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini dan bukan hanya menyokong filem antarabangsa.

“Setakat ini, kutipan ‘box office’ bagi 27 filem tempatan termasuk ‘Takluk: Lahad Datu’ mencecah RM97.5 juta, hampir menyamai kutipan keseluruhan ‘box office’ bagi 56 filem tempatan tahun lalu yang berjumlah RM98.8 juta.

“Ini membuktikan filem tempatan juga berkualiti. Saya harap penonton terus menyokong industri filem tempatan. Kutipan box office tertinggi tahun ini masih ‘Sheriff: Narko Integriti’, manakala kutipan ‘box office’ tertinggi tahun lalu milik ‘Polis Evo 3’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.