
Nalini Elumalai pegawai program dari NGO Article 19 mendapati kebimbangan utama kerajaan ialah peningkatan kandungan berbahaya di media sosial.
Tetapi katanya sekadar melesenkan platform media sosial dan memadam atau menapis kandungan berbahaya mungkin tidak cukup untuk mewujudkan ruang selamat dalam talian buat semua orang.
“Kami percaya menangani kandungan berbahaya melangkaui kandungan sederhana saja. Kerajaan perlu menangani punca ucapan kebencian, buli siber dan keganasan berasaskan jantina,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata ketika ini terdapat kurang pemahaman terhadap perbezaan ucapan dilindungi dan kandungan berbahaya.
Menurutnya penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khasnya Seksyen 211 dan 233, yang mengawal kandungan menyinggung perasaan, “tidak memberi kami keyakinan bahawa kebebasan bersuara tidak akan terjejas”.
Nalini berkata walaupun kerajaan berulang kali mengkritik platform media sosial kerana tidak melakukan secukupnya untuk menangani algoritma menyumbang kepada penyebaran ucapan kebencian dan hasutan, syarikat terbabit tidak boleh diharapkan akan mengkaji puncanya sendiri.
“Menghukum syarikat media sosial untuk kandungan berbahaya hanya akan menggalakkan penyingkiran berlebihan kandungan, termasuk ucapan dilindungi,” katanya menjawab kenyataan bekas pesuruhjaya tinggi Britain ke Malaysia, Ailsa Terry bahawa pelesenan syarikat media sosial tidak akan mengancam kebebasan bersuara di Malaysia.
Dalam temu bual bersama Scoop Terry dilaporkan berkata United Kingdom mengambil pendekatan sama untuk menangani kandungan berbahaya dalam talian.
Di bawah rangka kerja kawal selia Malaysia, platform media sosial dan perkhidmatan mesej dengan lebih lapan juta pengguna dikehendaki memohon lesen untuk beroperasi dan mungkin tertakluk kepada tindakan undang-undang jika mereka gagal berbuat demikian menjelang 1 Jan 2025.
Mengulas kenyataan Terry, Nalini berkata undang-undang pelesenan tiada syarat kelayakan jelas, memberi kuasa berlebihan kepada menteri untuk memutuskan sama ada mahu mengeluarkan lesen kepada mana-mana individu atau syarikat.
“Kami percaya penyelesaian berdasarkan ketelusan, perlindungan data dan dasar persaingan kukuh, termasuk penyingkiran pengehosan daripada kurasi kandungan dan kebolehoperasian platform besar, jauh lebih berkesan dalam menjadikan internet lebih selamat buat kanak-kanak dan orang dewasa di Malaysia.”
Gayathry S Venkiteswaran penolong profesor komunikasi di Universiti Nottingham Malaysia berkata pelesenan media sosial pada asasnya adalah satu bentuk penapisan.
Selain undang-undang sedia ada seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya lesen menjadi hos media sosial “satu lagi kaedah kawalan kandungan dan mungkin boleh digunakan untuk menyekat syarikat”.
“Syarikat teknologi perlu bertanggungjawab ke atas kandungan di platform mereka, tetapi peraturan seperti ini akan mendatangkan risiko syarikat menapis kandungan secara berlebihan,” katanya kepada FMT.
Berdasarkan pemahamannya, syarat lesen boleh digunakan untuk menghalang platform media sosial, sama seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 digunakan untuk menggantung akhbar dahulu.
Menurutnya Amerika Syarikat dan Eropah mengukuhkan hak asasi rakyat mereka, termasuk hak untuk kebebasan bersuara selama beberapa dekad, tetapi Malaysia “terlalu dikawal” dan mempunyai lebih banyak undang-undang punitif serta perlindungan agak lemah buat rakyat, pengguna dan pembeli.
Beliau berkata pelesenan platform media sosial tidak dapat menangani isu utama, sebaliknya hanya memfokuskan penyederhanaan kandungan.